Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Wan Saiful mahu kerajaan henti penjenamaan narsisistik, membazir
Diterbitkan:  Jun 4, 2025 12:02 PM
Dikemaskini: 6:50 AM

Seorang ahli parlimen dari Bersatu membidas penggunaan istilah “Madani” untuk suatu projek oleh Putrajaya yang dianggap sebagai satu penjenamaan “narsisistik” dan bakal membazirkan dana awam.

Justeru Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan, menggesa kerajaan untuk menamakan semula projek Kota Madani – sebuah kawasan bandar berintensiti tinggi – yang akan dibangunkan di Putrajaya.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu itu turut menggesa agar amalan menggunakan slogan pentadbiran sebagai nama inisiatif kerajaan dihentikan kerana berpotensi menyebabkan pembaziran apabila penjenamaan semula dilakukan setiap kali pentadbirnya bertukar.

"Berapa banyak wang rakyat terpaksa dibazirkan apabila slogan kerajaan berubah dan pelabelan itu juga diubah?

"Datuk Seri Anwar (Ibrahim) dan semua pemimpin hari ini dan pemimpin akan datang jangan jadi narsisis.

“Sifat narsisistik pemimpin hanya akan merugikan wang rakyat kerana kos sebenar akan ditanggung oleh rakyat," katanya dalam kenyataan.

Bekas pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional itu berpendapat adalah lebih baik kerajaan menggunakan penjenamaan yang lestari dan nama yang tidak berubah walaupun kerajaan bertukar.

"Wang kerajaan bukan milik pemimpin. Ia milik rakyat, termasuklah yang tidak menyokong pemimpin itu.

"Maka apabila wang rakyat dibelanjakan, ia mesti mencerminkan pemilikan merentasi fahaman politik," tambahnya.

Gabungkan AI, infrastruktur canggih

Mendakwa tahu kerajaan akan menggunakan skrip biasa iaitu "perkara tu kerajaan dulu pun dah buat", Wan Saiful berkata, tidak ada salahnya jika kerajaan kini tidak meneruskan amalan tersebut.

"Apa guna jadi pemimpin jika perkara salah amalan terdahulu mahu diteruskan?” katanya.

Semalam perdana menteri berkata Kota Madani yang akan dibangunkan itu menekankan aspek kemudahan asas yang menyeluruh dan berpusat demi kebajikan rakyat.

Antara pembangunan di kawasan itu nanti termasuk sekolah menegak, institusi TVET, institusi kewangan, klinik kesihatan, balai bomba, balai polis dan sebuah masjid – yang semuanya dibina berdekatan kawasan petempatan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, memaklumkan projek itu meliputi kawasan seluas 41.28 hektar dan akan menyediakan 10,000 unit kediaman bagi menampung lebih 30,000 penduduk.

Dia menambah Kota Madani mengintegrasikan teknologi kecerdasan buatan (AI), infrastruktur digital canggih, dan sistem mobiliti hijau untuk membentuk asas kepada persekitaran bandar yang rendah karbon, mampan dan selamat.

Majlis pecah tanah dijangka berlangsung pada 26 Jun ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS