Sekretariat Tanah Air mengecam keras kenyataan tidak bertanggungjawab pengerusi DAP Sarawak merangkap anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Padungan, Chong Chieng Jen, yang mendesak agar Kerajaan Negeri Sarawak diberikan 30 peratus pegangan ekuiti dalam Petroliam Nasional Berhad (Petronas).
Cadangan ini bukan sahaja bertentangan dengan asas perlembagaan dan undang-undang, malah merupakan ancaman terang-terangan terhadap kedaulatan ekonomi nasional serta semangat federalisme yang menjadi asas penubuhan Malaysia.
Petronas adalah entiti strategik negara yang ditubuhkan bawah Akta Pembangunan Petroleum 1974 (Akta 144) dan kekal sebagai aset milik penuh kerajaan persekutuan.
Sebagai pemegang amanah kekayaan negara, Petronas diberi mandat eksklusif untuk mengurus dan mengawal semua sumber petroleum negara demi kepentingan seluruh rakyat Malaysia.

Kedudukan strategik ini membolehkan Petronas menjadi penyumbang utama kepada hasil negara, dengan sumbangan lebih 20 peratus kepada pendapatan tahunan kerajaan.
Kejayaan dan keunggulan Petronas turut diiktiraf di peringkat antarabangsa, apabila disenaraikan dalam Fortune Global 500, yang pada tahun 2025, Petronas menduduki kedudukan ke-167–satu-satunya syarikat Malaysia yang tersenarai dalam kelompok syarikat terbesar dunia berdasarkan pendapatan tahunan.
Pencapaian ini mencerminkan kekuatan dan daya saing Petronas dalam industri minyak dan gas global, serta peranannya yang kritikal dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara.
Cadangan untuk menyerahkan 30 peratus ekuiti Petronas kepada mana-mana negeri bukan sahaja akan menghakis keupayaan fiskal kerajaan pusat, tetapi juga membuka jalan kepada perebutan kuasa antara negeri, seterusnya mengancam kestabilan politik dan ekonomi negara.

Tindakan ini berpotensi mengundang fragmentasi kuasa yang merosakkan kerangka federalisme dan melemahkan kedaulatan ekonomi Malaysia.
Lebih membimbangkan, Chong bukanlah tokoh asing dalam barisan politikus yang mempunyai sejarah panjang mengeluarkan kenyataan didakwa berbaur antinasionalis, mempersoalkan institusi-institusi persekutuan dan dasar-dasar nasional.
Retorik ‘hak negeri’
Beliau pernah didakwa mempertikaikan keputusan Mahkamah Persekutuan, menyoal kedudukan Islam sebagai agama persekutuan, serta secara konsisten mencabar hak-hak istimewa Bumiputera yang dilindungi oleh Perlembagaan.
Bawah agenda politik sempit yang diselubungi retorik "hak negeri", beliau sebenarnya berusaha melemahkan kuasa pusat dan membuka ruang kepada penghakisan keutuhan nasional.
Kenyataan beliau kali ini hanyalah satu lagi episod dalam siri cubaan sistematik untuk merobek asas kenegaraan Malaysia.
Sekretariat Tanah Air melihat cadangan ini bukan sahaja sebagai satu pencabulan terhadap Perlembagaan Persekutuan, malah satu bentuk pengkhianatan terhadap semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang menuntut kesatuan dan kerjasama erat antara negeri dan Persekutuan.

Tambahan pula, pengiktirafan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) sebagai aggregator tunggal gas di Sarawak yang dilakukan tanpa pembaharuan undang-undang yang sewajarnya mencetuskan dualisme kuasa dalam pengurusan sektor tenaga nasional.
Ini bukan sahaja menimbulkan ketidaktentuan dasar, malah mengancam keyakinan pelabur dan melemahkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan strategik.
Malaysia memerlukan kepimpinan yang tegas, dasar yang konsisten dan perpaduan yang kukuh — bukannya permainan politik sempit yang membahayakan masa depan negara.
Sekretariat Tanah Air menyeru seluruh rakyat Malaysia serta pimpinan kerajaan untuk menolak sekeras-kerasnya desakan songsang ini.
Petronas mesti kekal sebagai simbol kedaulatan ekonomi nasional, milik penuh seluruh rakyat Malaysia, dan tidak sesekali dikompromi oleh agenda politikus oportunis Chieng Jen.
ARMIN BANIAZ PAHAMIN ialah setiausaha agung Sekretariat Tanah Air.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
