Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Esteel Enterprise: Giliran pegawai menteri Sabah kecam Warisan
Diterbitkan:  Jun 4, 2025 2:38 PM
Dikemaskini: 6:42 AM

Pegawai kepada Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Phoong Jin Zhe, mengecam keras Adun Warisan, Calvin Chong, kerana “berulang kali melancarkan serangan tidak bertanggungjawab” berhubung projek Esteel Enterprise Sabah Sdn Bhd (Esteel Enterprise).

Chan Long Wei berkata, pelaburan strategik dan transformasi bernilai RM31 bilion itu dijangka akan mengubah landskap industri Sabah dan mewujudkan ribuan peluang pekerjaan untuk anak tempatan.

“Jika Chong benar-benar ingin tahu atau menuntut kebertanggungjawaban, saya cabar beliau membangkitkan isu ini dalam persidangan DUN yang akan datang. Itulah platformnya sebagai wakil rakyat yang dipilih.

“Tapi mari kita jujur — semasa perbahasan loji pemasangan EV di Sandakan, dia begitu lantang di media sosial dan juga di media massa. Tetapi apabila diberi peluang untuk bersuara dalam DUN, dia langsung berdiam diri.

“Mengapa? Kerana jauh di lubuk hati, dia tahu projek ini memberi manfaat kepada rakyat. Dia hanya bertindak populis untuk kamera — bukan untuk rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Chan daripada menyambut baik pelaburan bersejarah Esteel Enterprise, Chong memilih untuk “mempolitikkan isu” tersebut serta “memesongkan fakta dan mengelirukan orang awam”.

“Adakah Chong dan Warisan menentang perindustrian dan pertumbuhan ekonomi?

“Setiap kali kerajaan berusaha membawa pelabur yang boleh dipercayai, anda akan muncul bukan dengan penyelesaian, tetapi dengan sentimen tidak bertanggungjawab.

“Mempolitikkan pelaburan asing dan tempatan bukan sahaja melulu tetapi juga merosakan reputasi Sabah,” katanya lagi.

Tak boleh terima, mengarut

Chan menegur tindakan Adun Elopura itu kerana menyerang Esteel Enterprise, sebuah syarikat dimiliki ahli perniagaan China yang boleh dipercayai dan turut mengasaskan "100 Syarikat Persendirian Teratas" di China pada 2023.

Katanya syarikat terbabit mempunyai kelayakan dan modal, malah pengambilalihan Southern Steel Bhd di Pulau Pinang pada Okt 2024 dilaporkan secara meluas oleh media massa.

“Bagi seorang wakil rakyat, tindakan tidak membuat penyelidikan sebelum melancarkan serangan adalah sangat tidak boleh diterima dan mencerminkan ketidakmampuan dalam memahami asas pengurusan pelaburan.

“Ia juga menyinggung tahap profesionalisme agensi dan penjawat awam dalam melaksanakan proses semak selia di peringkat persekutuan dan negeri,” tambahnya.

Justeru Chan menyeru Sabah khususnya di Sandakan untuk menilai sendiri adakah kualiti kepimpinan sebegitu yang mereka mahukan untuk negeri berkenaan.

“Bagaimana kita mahu memacu pembangunan dan pertumbuhan dengan wakil rakyat seperti ini?

“Politik bukan tentang menjadi hero atau populis. Ia adalah tentang bekerja dengan ikhlas untuk membawa perubahan bermakna dan progresif untuk rakyat,” katanya.

Chan menambah adalah sesuatu yang “tidak boleh diterima dan mengarut” apabila tindakan mempolitikkan pelabur dan projek strategik secara berterusan tanpa menawarkan alternatif yang realistik.

“Ia memberi isyarat yang salah kepada pelabur dan menjejaskan reputasi Sabah di peringkat global.

“Oleh itu, saya mengecam keras tindakan Chong dan dia perlu berhenti menggunakan isu pelaburan untuk kepentingan politik murahan.

“Tindakannya bukan sahaja merosakkan kerajaan tetapi juga menjejaskan keyakinan pelabur sedia ada dan masa depan. Jika perkara ini berterusan, kita semua akan menanggung akibatnya,” tambahnya.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS