NGO Sekretariat Tanahair mengecam keras kenyataan Pengerusi DAP Sarawak, merangkap Adun Padungan, Chong Chieng Jen, yang mendesak Kerajaan Sarawak diberikan 30 peratus pegangan ekuiti dalam Petronas.
Setiausaha Agungnya, Armin Baniaz Pahamin berkata, cadangan itu bukan sahaja bertentangan dengan asas Perlembagaan dan undang-undang negara, malah merupakan ancaman terang-terangan terhadap kedaulatan ekonomi nasional serta semangat federalisme yang menjadi asas penubuhan Malaysia.
"Petronas adalah entiti strategik negara yang ditubuhkan di bawah Akta Pembangunan Petroleum 1974 (Akta 144) dan kekal sebagai aset milik penuh Kerajaan Persekutuan.
"Cadangan untuk menyerahkan 30 peratus ekuiti Petronas kepada mana-mana negeri bukan sahaja akan menghakis keupayaan fiskal kerajaan pusat, tetapi juga membuka jalan kepada perebutan kuasa antara negeri, seterusnya mengancam kestabilan politik dan ekonomi negara.
"Tindakan ini berpotensi mengundang fragmentasi kuasa yang merosakkan kerangka federalisme dan menggugat kedaulatan ekonomi Malaysia," katanya dalam kenyataan.
Pada 23 Mei lalu, Chong menggesa kerajaan negeri Sarawak memulakan rundingan untuk mendapatkan 30 peratus kepentingan dalam Petronas. Menurutnya, Sarawak kini mempunyai pengaruh politik yang kukuh terhadap Putrajaya, ditambah dengan keterbukaan kerajaan Persekutuan terhadap tuntutan dari negeri berkenaan.

Menurut laporan The Borneo Post, Adun DAP itu ketika berucap dalam sesi perbahasan di DUN Sarawak berkata sebahagian besar bekalan gas Malaysia berasal dari negeri itu.
Justeru kata Chong, Sarawak wajar memperoleh pegangan yang signifikan dalam Petronas — dengan cadangan pemilikan 30 peratus itu dianggap munasabah.
Chong juga menegaskan dia bukan menyeru kepada konflik antara Petronas dan Petroleum Sarawak Bhd (Petros), sebaliknya menyarankan penyertaan ekuiti sebagai pendekatan lebih adil.
‘Khianati semangat MA63’
Mengulas lanjut, Armin berkata cadangan ini bukan sahaja pencabulan terhadap Perlembagaan Persekutuan, malah satu bentuk pengkhianatan terhadap semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang menuntut kesatuan dan kerjasama erat antara negeri dan Persekutuan.

"Tambahan pula, pengiktirafan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) sebagai aggregator tunggal gas di Sarawak yang dilakukan tanpa pembaharuan undang-undang yang sewajarnya mencetuskan dualisme kuasa dalam pengurusan sektor tenaga nasional.
"Ini bukan sahaja menimbulkan ketidaktentuan dasar, malah mengancam keyakinan pelabur dan melemahkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan strategik," tegasnya.
Kenyataan berbaur antinasionalis
Lebih membimbangkan, katanya, Chong mempunyai sejarah panjang mengeluarkan kenyataan berbaur antinasionalis, mempersoalkan institusi-institusi Persekutuan dan dasar-dasar nasional.
"Beliau pernah mempertikai keputusan Mahkamah Persekutuan, menyoal kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, serta secara konsisten mencabar hak-hak istimewa Bumiputera yang dilindungi oleh Perlembagaan.
"Di bawah agenda politik sempit yang diselubungi retorik "hak negeri", beliau sebenarnya berusaha melemahkan kuasa pusat dan membuka ruang kepada penghakisan keutuhan nasional. Kenyataan beliau kali ini hanyalah satu lagi episod dalam siri cubaan sistematik untuk merobek asas kenegaraan Malaysia," katanya.
