(Nota editor: Artikel ini telah disunting bagi menggambarkan kenyataan Anthony Loke mengenai pelantikan politik dengan lebih tepat. Kesilapan dikesali.)
Menteri Pengangkutan Anthony Loke menegaskan bahawa pendirian peribadinya adalah bahawa tidak sepatutnya ada lantikan politik dalam sektor pengangkutan awam.
Sebaliknya, Loke berkata dia berpegang kepada kepercayaan bahawa operator awam mesti dipimpin oleh profesional.
Loke berkata dia sebelum ini telah menyatakan perkara tersebut kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, sambil menambah bahawa perkara ini mesti dikekalkan.
“Kalau pengangkutan (awam) ini, satu lantikan (politik ) sudah cukup, menteri pengangkutan sudah cukup,” katanya sambil berseloroh malam tadi semasa forum pengangkutan awam di Menara Prasarana, Petaling Jaya.
Apabila Anwar berkuasa selepas pilihan raya umum ke-15, pentadbirannya menamatkan kontrak semua pengerusi dan ahli lembaga yang dibuat melalui pelantikan politik dalam badan berkaitan kerajaan.
Bagaimanapun, dua minggu lalu, semasa kongres PKR, Anwar mempertahankan pelantikan politik, atas alasan bahawa pelantikan oleh kerajaan kepada individu yang layak harus dibenarkan.
Pada Oktober, data Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) bagi bilangan pelantikan politik tertinggi yang dibuat oleh seseorang perdana menteri, mendapati bahawa lantikan politik oleh Anwar adalah yang kedua terendah.
Mengulas mengenai prstasi Prasarana Malaysia Berhad, Loke berkata, pengendali utama perkhidmatan rel dan bas di Lembah Klang itu, telah menunjukkan peningkatan ketara dalam tahun-tahun dia memegang portfolio pengangkutan.
“Jadi dari masa ke masa Prasarana dah bertambah baik. Semua laluan kita sudah bertambah baik, gangguan teknikal bukan tidak ada, tapi telahpun dikurangkan.
“Kalau dulu mungkin setiap satu dua minggu ada gangguan teknikal. Sekarang ini mungkin setiap dua bulan ada sekali ataupun dua kali. Ada tetapi telah dikurangkan dan kita punya response lebih cepat draripada sebelum ini,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Prasarana Azharuddin Mat Sah ketika membuat pembentangan lebih awal semasa acara itu, berkata bahawa gangguan pada lif di stesennya telah berkurangan daripada 17 daripada 319 unit pada 2022 kepada tiada langsung daripada 448 unit setakat tahun ini.
Gangguan terhadap eskalator juga telah dikurangkan, daripada 49 daripada 656 unit pada 2022 kepada tiga daripada 906 pada tahun ini.
Bagi gangguan pencahayaan, terdapat 14,400 daripada 86,700 pada 2022, yang berkurangan kepada 357 daripada 116,700 pada tahun ini.
