Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Peguam isteri Daim kecam SPRM sita semula Menara Ilham
Diterbitkan:  Jun 5, 2025 10:18 PM
Dikemaskini: Jun 6, 2025 12:58 AM

Peguam yang mewakili Na'imah Abdul Khalid mengutuk sekeras-kerasnya SPRM yang disifatkan mengambil tindakan tidak berasas apabila menyita semula Menara Ilham.

Rajesh Nagarajan dan Sachpreetraj Singh Sohanpal berkata tindakan terbaru SPRM itu adalah “tindakan paling tidak masuk akal yang pernah diambil”.

Mereka berhujah dalam kenyataan media bahawa hartanah itu pernah dirampas sekali sebelum ini dan mempersoalkan kesahihan dan motif di sebalik penyitaan kali kedua.

“Adalah penting untuk diulang bahawa walaupun dakwaan dan sindiran berulang kali oleh perdana menteri dan ketua pesuruhjaya SPRM terhadap (suami Na'imah) Daim Zainuddin, tiada kesalahan rasuah telah dibawa ke atasnya.

“Kini setelah gagal membawa sebarang pertuduhan terhadapnya, mereka mengganggu anak guam kami dengan penyitaan kali kedua.

"Pendek kata, mereka mahu terus sita harta anak guam kami walaupun tiada bukti rasuah," kata peguam berkenaan hari ini.

Kedua-dua peguam itu juga mengumumkan rancangan untuk mencabar segera penyitaan Menara Ilham di mahkamah.

Penyitaan pertama berlaku pada 2023 apabila SPRM menyita bangunan itu di bawah Akta SPRM 2009.

Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan SPRM menyita tujuh hartanah milik keluarga Daim.

Antara yang disita, melalui permohonan ex parte, ialah tiga rumah mewah di London dan satu akaun bank, yang dikatakan bernilai RM758.2 juta.

Aset itu adalah antara yang disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (Amla) dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Amlatfpuaa).

Semalam, Na'imah berkata dia akan menggunakan semua cara undang-undang yang ada padanya untuk mencabar perintah itu dan berikrar "tidak akan tunduk kepada pembuli".

Pada 22 Mei, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata dia mendesak supaya mana-mana aset Daim yang tidak diisytiharkan disita dan diserahkan kepada kerajaan.

Azam berkata SPRM telah pun membekukan aset Daim bernilai sekitar RM2 bilion dan percaya mereka boleh menemui lebih banyak lagi kerana penyiasat masih meneliti kekayaan yang disimpan bekas menteri kewangan itu, ahli keluarganya dan "proksi".

Nama Daim, yang meninggal dunia pada 13 Nov tahun lalu, kembali menjadi tumpuan selepas SPRM melancarkan siasatan terhadapnya kerana disyaki terlibat rasuah dan pengubahan wang haram.

Daim didakwa gagal mematuhi notis SPRM untuk mendedahkan asetnya merangkumi 38 syarikat, 25 tanah dan hartanah, tujuh kenderaan mewah, dan dua akaun dana pelaburan.

Susulan kematiannya, Daim dibebaskan daripada semua pertuduhan selepas pihak pendakwaan menarik balik kes mereka terhadapnya.

Bagaimanapun, SPRM masih meneruskan siasatan terhadap jejak kewangan aset yang dikaitkan dengan Daim dan keluarganya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS