Veteran Umno Malaysia hari ini mengingatkan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad supaya menghentikan tindakannya menyeru ahli Umno meninggalkan parti itu dan menyertai gagasan baru yang disebut sebagai ‘payung penyatuan Melayu’.
Setiausaha Veteran Umno, Mustapha Yaakub, menyifatkan langkah Mahathir itu sebagai cubaan memecahbelahkan orang Melayu khususnya dalam Umno, yang kini, katanya sudah cukup kukuh sebagai tempat berlindung orang Melayu.
“Veteran Umno Malaysia meminta Mahathir supaya berhenti menjadi hantu penghasut untuk memecahbelahkan Umno dengan menyeru ahli Umno supaya meninggalkan Umno dan menyertai payung ciptaannya konon untuk penyatuan Melayu,” kata Mustapha dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurutnya, Mahathir yang sebelum ini keluar daripada Umno dan menubuhkan Bersatu telah menjadi punca perpecahan dalam kalangan orang Melayu. Namun hari ini, tokoh politik itu mengajak ahli Umno kembali bersatu di bawah wadah baru yang dicetusnya sendiri.
“Dendamnya kepada pemimpin Umno membuatkan dia mahu menghancurkan Umno. Parti yang telah menobatkan dia sebagai perdana menteri selama puluhan tahun,” katanya.
Tambah Mustapha, Mahathir seolah-olah lupa jasa Umno yang pernah mengangkatnya ke tampuk kuasa.
“Tanpa Umno dia hanya seorang doktor. Tapi hari ini dia mahu menghapuskan Umno. Dia memang jenis kacang yang lupakan kulit,” katanya.

Veteran Umno turut menyatakan bahawa mereka menghormati usia Mahathir yang hampir menjangkau 100 tahun, tetapi menegaskan tindak-tanduknya tidak mencerminkan peribadi orang tua yang wajar disegani.
“Berhentilah menjadi hantu raya yang tidak bertuan. Ahli Umno tidak akan terpedaya dengan ajakannya.
‘Payung Umno sudah cukup besar untuk ahli Umno berteduh. Ahli Umno tidak perlukan payung ciptaannya,” kata Mustapha.
Pada Rabu lalu, Mahathir mengumumkan jawatankuasa sekretariat orang Melayu bagi menghimpunkan orang Melayu di bawah satu ‘payung besar’.

Antara parti yang disebut-sebut berpotensi berada di bawah payung tersebut termasuk Bersatu, PAS, dan Pejuang – parti yang Mahathir sendiri pernah tubuh dan pimpin.
Mahathir juga dilihat cuba menarik penyertaan ahli-ahli Umno yang kecewa dengan kepimpinan parti sekarang.
Bagaimanapun, beberapa pemimpin Umno menolak idea tersebut, sambil menyifatkannya sebagai usaha terdesak untuk menghidupkan kembali pengaruh politik Mahathir yang semakin pudar.
