Peguam hak asasi manusia, Rajesh Nagarajan, mengkritik keputusan kerajaan negeri Pulau Pinang yang menawarkan diskaun eksklusif lima peratus bagi pemilikan hartanah perumahan dan komersial kepada masyarakat India Muslim.
Katanya, Kempen Pemilikan Rumah Madani (MOC) itu adalah satu bentuk diskriminasi dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Inisiatif ini sangat memecahbelahkan, bersifat diskriminasi dan tidak boleh diterima. Ia secara terang-terangan mengutamakan satu kaum dan kumpulan agama tertentu dengan mengketepikan yang lain, dan bercanggah dengan prinsip asas keadilan dan kesaksamaan yang sepatutnya menjadi teras dasar awam.
“Mengapa kerajaan negeri Pulau Pinang memberi ganjaran kepada masyarakat India yang beragama Islam tetapi tidak kepada mereka yang menganut Kristian, Buddha, Hindu, Baha’i atau Sikh?
“Jika ini bukan diskriminasi, saya tidak tahu apa lagi,” katanya.
Rajesh berpendapat bahawa dasar tersebut melanggar Perkara 8(1) dan 8(2) Perlembagaan Persekutuan, yang menjamin persamaan hak di sisi undang-undang dan perlindungan yang sama kepada semua individu.

Dia menegaskan bahawa perlembagaan secara jelas melarang diskriminasi berasaskan agama, kaum atau keturunan.
‘Tarik balik dasar ini’
Menghalakan kritikannya terhadap Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Alam Sekitar negeri, S Sundarajoo, Rajesh menuduh beliau “mengamalkan diskriminasi kaum kerajaan negeri dan mewujudkan satu duluan berbahaya yang sama sekali bertentangan dengan Perlembagaan.”
Dia menuntut dasar itu ditarik balik serta-merta dan menegaskan bahawa dana awam serta inisiatif kerajaan negeri harus memberi manfaat kepada semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum atau agama.
“Kerajaan DAP perlu diingatkan bahawa mereka terikat dengan tanggungjawab untuk menjunjung Perlembagaan dan bukan merosakkannya melalui dasar-dasar yang mendorong perpecahan kaum dan agama.

“Ini bukan negara apartheid yang sesesetengah kaum lebih tinggi taraf daripada yang lain,” tambahnya.
Semalam, Sundarajoo mengumumkan bahawa kerajaan negeri Pulau Pinang akan memberi diskaun khas lima peratus kepada masyarakat India Muslim bagi hartanah kediaman dan komersial di bawah MOC.
Inisiatif ini diperkenalkan di bawah Dasar Pemangkin Sektor Hartanah Inklusif Madani dan akan berlangsung dari 1 Jun 2025 hingga 31 Mei 2026 dengan matlamat meningkatkan jualan hartanah.
