GLOBAL l Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengesahkan dia akan melawat China selepas bercakap melalui telefon dengan pemimpinnya, Xi Jinping.
Trump berkata dia turut menjemput Xi ke Rumah Putih ketika "perbualan yang sangat baik" itu.
Panggilan telefon pada Khamis itu adalah kali pertama kedua-dua pemimpin bercakap secara langsung sejak Trump melancarkan perang dagangan terhadap Beijing pada Februari.

Media rasmi China melaporkan panggilan itu dibuat atas permintaan Rumah Putih.
"Presiden Xi mengalu-alukan lawatan Presiden Trump ke China sekali lagi, dan Presiden Trump mengucapkan penghargaan yang tulus atas jemputan itu," kata Kementerian Luar China pada satu kenyataan.
"Jika China dan AS bekerjasama, banyak perkara hebat boleh dicapai," kata kenyataan itu lagi.
Trump melalui hantaran di media sosial menjelaskan perbualan selama satu jam setengah itu tertumpu kepada isu perdagangan dan “berakhir dengan kesimpulan yang sangat positif bagi kedua-dua negara.”
"Dia menjemput saya ke China dan saya menjemput dia ke sini," kata Trump seperti dilapor BBC mengenai panggilan dengan Xi ketika bertemu Canselor Jerman, Friedrich Merz, di Pejabat Oval.

"Kami berdua bersetuju, jadi saya akan ke sana bersama Wanita Pertama pada satu ketika nanti, dan dia juga akan datang ke sini — diharap bersama Wanita Pertama China."
Menurut agensi berita rasmi Xinhua, Xi memberitahu Trump bahawa AS harus “menarik balik langkah-langkah negatif yang telah diambil terhadap China.”
Xi juga mengingatkan Trump bahawa China sentiasa menepati janji dan memandangkan kesepakatan terkini telah dimeterai di Geneva maka kedua-dua pihak perlu mematuhinya.
Kedua-dua negara saling menuduh melanggar perjanjian itu, yang bertujuan mengurangkan tarif perdagangan secara besar-besaran — perjanjian yang digambarkan Trump sebagai “penetapan semula sepenuhnya.”
Perjanjian itu menyusuli tindakan Trump menaikkan tarif ke atas import dari beberapa negara, dengan kadar tertinggi dikenakan terhadap China. Beijing membalas dengan menaikkan tarif ke atas barangan AS, mencetuskan perang tarif yang mencecah kadar setinggi 145 peratus.
Gencatan sementara yang dicapai pada Mei lalu menurunkan tarif AS ke atas produk China kepada 30 peratus manakala China mengurangkan tarif ke atas barangan AS kepada 10 peratus serta berjanji akan membuka sekatan ke atas eksport mineral kritikal.
Perjanjian tersebut memberi tempoh 90 hari kepada kedua-dua pihak untuk mencapai kesepakatan akhir.
Namun sejak itu, rundingan dilihat tergendala susulan dakwaan dari kedua-dua pihak bahawa perjanjian telah dilanggar.
AS menuduh China gagal menyambung semula penghantaran mineral kritikal dan magnet nadir bumi yang penting untuk industri automotif dan komputer.
Kementerian Perdagangan China menafikan dakwaan itu dan menuduh AS melanggar perjanjian dengan memperkenalkan sekatan baru ke atas cip komputer.

Trump turut memperkenalkan sekatan eksport ke atas perisian reka bentuk semikonduktor serta mengumumkan pembatalan visa pelajar China.
Dalam pad aitu, presiden AS juga menjelaskan “pelajar China boleh datang, tiada masalah — malah ia satu penghormatan. Tapi kami mahu membuat semakan terlebih dahulu.”
Penjelasan Trump ini selepas pentadbirannya membatalkan keupayaan Universiti Harvard menerima pelajar antarabangsa pada 23 Mei lalu.
