Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) hari ini menggesa pihak polis dan Jabatan Peguam Negara (AGC) supaya mempercepatkan siasatan berhubung kematian kadet Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), J Soosaimanicckam.
Dalam satu kenyataan, Suhakam menyuarakan kebimbangan mendalam terhadap apa yang digambarkan sebagai kelewatan berpanjangan dalam usaha mendapatkan keadilan bagi Soosaimanicckam, yang meninggal dunia secara tragik semasa sesi latihan pada tahun 2017.

“Mahkamah Tinggi telah memutuskan bahawa kematian tersebut berpunca daripada tindakan pegawai TLDM yang menafikan rawatan perubatan kepada mangsa yang menghidap leptospirosis.
“Berdasarkan keputusan Mahkamah Tinggi tersebut, amat penting agar polis mempercepatkan siasatan dan memastikan mereka yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan,” kata kenyataan itu.
Bulan lalu, ahli keluarga Soosaimanicckam menyerahkan satu memorandum kepada AGC, meminta supaya pihaknya mengarahkan polis membuka semula siasatan ke atas kematiannya.
Menurut memorandum itu, siasatan perlu dijalankan oleh pasukan bebas dan berkecuali dan bukannya daripada ibu pejabat polis Bukit Aman.
“Setakat pengetahuan kami, tiada siasatan dijalankan. Polis belum melakukan siasatan, dan kami sudah serahkan (memorandum kepada Bukit Aman).

“Sebab jika siasatan sudah dibuat, keluarga pasti sudah dipanggil untuk diambil keterangan,” kata Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM), S Arutchelvan, pada sidang media selepas penyerahan memorandum tersebut.
Dia menegaskan bahawa siasatan kes ini mesti dikendalikan oleh pasukan khas memandangkan ia melibatkan pegawai tentera laut.
Keadilan dinafikan
Soosaimanicckam disahkan meninggal dunia di Hospital Tentera Lumut pada 19 Mei 2018, selepas didakwa menjadi mangsa buli semasa latihan.
“Fakta bahawa tujuh tahun telah berlalu tanpa sebarang penyelesaian adalah satu tamparan serius kepada kemampuan sistem keadilan untuk melindungi hak mangsa dan keluarga mereka daripada salah laku jenayah.

“Keadilan yang ditangguhkan adalah keadilan yang dinafikan. Dalam kes ini, kegagalan bertindak dalam tempoh yang wajar menjejaskan kepercayaan awam terhadap institusi negara, khususnya agensi penguatkuasaan undang-undang.
“Walaupun kami mengakui kerumitan kes yang melibatkan anggota kerajaan, Suhakam menegaskan bahawa tiada institusi harus kebal daripada siasatan apabila terdapat bukti kukuh berlaku pelanggaran hak asasi,” katanya.
Suhakam menyatakan bahawa “kematian tragik yang boleh dicegah” ini, ditambah dengan sikap tidak bertindak oleh institusi berkaitan, merupakan kegagalan untuk menjunjung hak asasi yang paling asas.
Beri garis masa jelas
Suhakam turut menegaskan bahawa kes ini melibatkan piawaian hak asasi manusia antarabangsa, termasuk Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR).
Perkara 3 UDHR menjamin hak untuk hidup, kebebasan, dan keselamatan diri. Manakala Perkara 8 memastikan setiap individu berhak mendapat remedi berkesan oleh mahkamah negara yang kompeten atas sebarang pelanggaran hak asasi yang dijamin oleh Perlembagaan atau undang-undang.
Oleh itu, menurut Suhakam, kelewatan berpanjangan dalam siasatan melanggar prinsip-prinsip hak asasi ini.

“Suhakam menggesa polis dan AGC bertindak segera, dengan berkecuali dan telus.
“Keluarga mendiang Soosaimanicckam berhak mendapat keadilan dan penutup emosi, dan masyarakat umum pula berhak diberi jaminan bahawa semua kematian dalam tahanan atau di bawah pengawasan negara disiasat dengan sewajarnya serta pihak yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.
“Suhakam turut menyeru supaya satu garis masa yang jelas diberikan bagi proses siasatan dan pendakwaan. Perkembangan siasatan juga perlu dimaklumkan secara berkala kepada keluarga, dengan pengawasan bebas bagi memastikan integriti siasatan,” tambahnya.
