Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow telah mengarahkan exco perumahan dan alam sekitar untuk meluaskan skop inisiatif diskaun hartanah yang diumumkan baru-baru ini, berikutan gesaan orang ramai untuk pendekatan yang lebih inklusif.
Mengakui kerajaan negeri menerima pelbagai maklum balas mengenai pengumuman itu, Chow berkata dasar itu perlu diperhalusi bagi memastikan ia memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat, selaras dengan prinsip keadilan sosial.
“Saya telah mengarahkan Exco Perumahan dan Alam Sekitar, S Sundarajoo untuk memperhalusi polisi berkenaan bersama-sama pihak pemaju bagi memanjangkan pemberian diskaun kepada semua pembeli, supaya ia lebih inklusif dan memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat selaras dengan prinsip keadilan sosial,” kata Chow dalam satu kenyataan hari ini.
Chow menambah bahawa perkara itu akan dibawa ke exco kerajaan negeri untuk perbincangan lanjut, dengan keputusan muktamad dibuat demi kepentingan semua pihak berkepentingan.
Pada 5 Jun lalu, Sundarajoo mengumumkan bahawa negeri itu akan memberikan diskaun istimewa lima peratus kepada kaum India Muslim untuk hartanah kediaman dan komersial di bawah MOC.
Inisiatif ini, yang diperkenalkan di bawah Dasar Pemangkin Sektor Harta Inklusif Madani, akan berlangsung dari 1 Jun 2025 hingga 31 Mei 2026, dengan matlamat untuk meningkatkan jualan hartanah.
Bagaimanapun, langkah itu mencetuskan rasa tidak puas hati pelbagai pihak yang mendakwa dasar itu bersifat diskriminasi, dan secara terang-terangan memihak kepada satu kumpulan kaum dan agama tertentu. DAP Pulau Pinang, kemudian tampil mencadangkan insentif sebegitu wajar diberikan kepada semua bakal pembeli bagi merangsang pasaran hartanah yang lembap dengan lebih berkesan.
