Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
PM arah siasat larangan perjalanan Fahmi Reza
Diterbitkan:  Jun 8, 2025 11:52 AM
Dikemaskini: 4:29 AM

Perdana Menteri Anwar Ibrahim hari ini mengarahkan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk memberi penjelasan dan menyemak tindakan melarang aktivis seni Fahmi Reza daripada meninggalkan negara.

Menurut kenyataan ringkas Pejabat Perdana Menteri hari ini, isu itu menimbulkan persoalan serius tentang kebebasan individu di bawah kerajaan Madani.

“Perdana Menteri, Anwar Ibrahim telah mengarahkan Timbalan Ketua Polis Negara untuk menyemak isu larangan ke luar negara yang dikenakan terhadap saudara Fahmi Reza.

“Kerajaan Madani menjunjung tinggi kebebasan individu selagi mana ia tidak menjejaskan keselamatan negara atau melanggar undang-undang sedia ada.

“Oleh itu, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu memberikan penjelasan lanjut mengenai perkara ini,” kata kenyataan itu, sambil menambah bahawa pejabat perdana menteri akan terus memantau isu berkenaan.

Arahan itu menyusul selepas Fahmi mendakwa dia disekat daripada ke luar negara ketika ingin menaiki penerbangan ke Singapura semalam. Menurutnya, pegawai imigresen memaklumkan bahawa larangan itu datang dari Bukit Aman, namun tiada sebab rasmi diberikan.

Aktivis dan artis grafik itu memaklumkan bahawa seorang pegawai imigresen di lapangan terbang memaklumkan bahawa Ibu Pejabat Polis Bukit Aman tidak memberi kebenaran untuk dirinya meninggalkan negara.

Dalam hantaran di Facebook semalam — yang turut memaparkan gambarnya bersama beg di KLIA2 — Fahmi meluahkan rasa tidak puas hati apabila disekat semata-mata kerana kerja seninya yang mengkritik kerajaan.

“Apa kesalahan aku? Hanya polis Bukit Aman dan kerajaan Madani yang boleh jawab,” tulisnya.

Fahmi, yang menyambut hari lahirnya semalam, berkata dia merancang untuk ke Singapura bagi menonton konsert yang menampilkan dua kumpulan punk kegemarannya.

Tindakan menghalang Fahmi daripada keluar negara berlaku hanya seminggu selepas dia dihalang memasuki Sabah, yang didakwa atas arahan Pejabat Ketua Menteri.

Dia dihantar pulang sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu selepas diberikan notis penolakan masuk.

Fahmi sebelum ini pernah ditahan di negeri itu kerana memaparkan karikatur yang menyentuh pelantikan Musa Aman sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah dan dakwaan korupsi lampau yang dikaitkan dengannya.

Musa sebelum ini berdepan 46 pertuduhan berkaitan kes konsesi balak, namun semua dakwaan itu digugurkan pada 2020 selepas pendakwaan menarik semula kes.

Sehingga kini, PDRM belum mengeluarkan kenyataan rasmi menjelaskan sebab larangan tersebut dikenakan ke atas Fahmi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS