Keputusan kerajaan negeri Perak untuk menghentikan kelulusan pembinaan kuil Hindu di atas tanah kerajaan selama sekurang-kurangnya lima tahun telah mencetuskan keberangan pemimpin masyarakat India — malah sehingga menyaksikan perbalahan terbuka antara MIC dan exco kerajaan negeri dari DAP.
Larangan itu, yang termaktub dalam Pekeliling Pengarah Tanah dan Galian Negeri Perak Bil. 3/2025, menetapkan bahawa tiada permohonan kuil baru akan dipertimbangkan di atas tanah kerajaan, dan sebarang pembinaan di tanah persendirian tetap perlu mendapat kebenaran rasmi kerajaan negeri.
Langkah ini dikritik hebat sebagai tidak sensitif, menyalahi semangat Perlembagaan Persekutuan, dan menghantar mesej salah kepada masyarakat minoriti.

Bagi Timbalan Presiden MIC, M Saravanan, dia meluahkan kekecewaannya dalam bentuk puisi pedas dalam bahasa Tamil yang tular di media sosial. Tanpa menyebut nama, ahli parlimen Tapah itu menyelar seorang pemimpin yang didakwanya sebagai pengkhianat.
Sasarannya itu adalah Exco Hal Ehwal Masyarakat India Perak, A Sivanesan, yang disifatkannya sebagai “jarum yang menikam dari dalam”.
"Sebelum menjadi tanah kerajaan, pihak British yang memerintah sendiri telah memberi kebenaran kepada nenek moyang kita untuk membina sebuah kuil di sana.
“Mulai sekarang, biarkan orang kita membina kuil di langit!" katanya sinis, menyindir dasar kerajaan negeri yang dianggap membelakangi realiti dan sejarah komuniti India di Malaysia.

Saravanan yang juga bekas menteri sumber manusia mempersoalkan bagaimana Sivanesan akan mendapatkan sokongan pengundi India pada pilihan raya akan datang.
"Oh-oh, bukankah engkau yang memiliki roket? Diam-diam engkau datang ke arah kami.
"Jangan sekali-kali engkau lupa dan berkata bahawa engkau adalah yang dihantar untuk berubah.
"Kami tahu engkau datang untuk menipu, Tuhan telah memberitahu kami. Engkaulah yang sepatutnya perlu diubah," kata Saravanan dalam puisi tersebut.
Sivanesan tidak berdiam diri dan tampil membidas Saravanan dengan menggesa ahli Parlimen Tapahitu supaya “mencampak puisinya ke dalam tandas.”

Menurut laporan Harapan Daily, pemimpin DAP itu juga menempelak MIC yang menurutnya gagal menyelesaikan isu kuil semasa berkuasa dahulu, meskipun memegang portfolio berkaitan seperti kesihatan dan kerja raya — dua sektor yang kini menjadi lokasi banyak kuil atas tanah kerajaan.
Malah, kata Adun Sungkai itu, isu kuil Hindu "bagai cendawan tumbuh selepas hujan" tidak ditangani MIC ketika parti tersebut berkuasa.
"Soalan mudah untuk Saravanan. Terdapat kuil yang dibina di klinik kerajaan termasuk di kawasannya sendiri di Hospital Tapah. Apakah yang telah beliau lakukan setakat ini untuk menyelesaikan isu itu?
"Kuil-kuil ini boleh didapati di beberapa hospital di seluruh negara dan menjadi isu kerana isu tanah. Saya sedang menyelesaikannya di Perak.

"Tetapi, bolehkah MIC menafikan fakta bekas presiden MIC pernah menjadi Menteri Kesihatan (Dr S Subramaniam) pada satu ketika? Kemudian apakah tindakan MIC untuk menyelesaikan isu ini? Kuil dibina di atas tanah JKR dan menjadi isu sekarang.
"Bukankah bekas presiden MIC lama Samy Vellu menjadi menteri kerja raya selama hampir 18 tahun? Apa yang dia buat masa itu? Jadi, nasihat mudah saya campak puisi kotor itu ke dalam tandas," kata pemimpin DAP itu.
Baru-baru ini, Sivanesan mengumumkan bahawa keputusan kerajaan negeri Perak melarang pembinaan kuil Hindu baru di atas tanah kerajaan adalah sebagai menyusun semula pengurusan rumah ibadat agar tidak menjadi isu undang-undang di masa depan.
Sivanesan turut mendedahkan terdapat lebih 480 kuil berdaftar di Perak — jumlah yang menurutnya melebihi gereja dan tokong — dan menegaskan bahawa banyak daripadanya bukan dibina secara haram, sebaliknya telah lama wujud sejak zaman penjajahan British.

Polemik kuil itu tidak terhenti di situ. Sebelum ini, Presiden Parti Makkal Sakthi, RS Thanenthiran turut campur tangan dengan menyifatkan larangan itu sebagai amat mengecewakan dan mencerminkan penghinaan halus terhadap kepercayaan dan budaya masyarakat India.
“Kuil bukan sekadar bangunan — ia pusat komuniti, simbol warisan. Banyak kuil atas tanah kerajaan itu wujud sejak zaman kolonial, dibina dengan kebenaran rasmi,” katanya.
Thanenthiran menggesa kerajaan Perak menarik balik pekeliling tersebut dan mencadangkan satu pelan tindakan jangka panjang untuk mengesahkan status kuil-kuil lama serta sesi libat urus terbuka dengan pemimpin komuniti India.
