Pemuda Pakatan Harapan (PH) menegaskan bahawa lembaga pengarah dan barisan pengurusan tertinggi Petronas perlu berkongsi tanggungjawab dalam memastikan kelangsungan syarikat itu.
Ketua penerangannya, Ammar Atan mencadangkan agar gaji, bonus dan elaun pimpinan tertinggi Petronas diturunkan.
"Pemuda PH menggesa Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz mengumumkan segera pelan untuk memotong gaji dan bonus tahunan dirinya selaku Ketua Pegawai Eksekutif dan sembilan lagi ahli barisan kepimpinan eksekutif Petronas.

"Malah, elaun lembaga pengarah juga harus dinilai semula selaras dengan potensi prestasi kewangan Petronas," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ammar berkata demikian mengulas keputusan penstrukturan semula yang diumumkan oleh Petronas baru-baru ini.
Tengku Muhammad Taufik sebelum ini menjelaskan penstrukturan semula itu dilakukan susulan kemerosotan keuntungan Petronas sebanyak 32 peratus tahun lalu, selepas kejatuhan 21 peratus pada tahun sebelumnya.
Langkah itu dijangka melibatkan 10 peratus tenaga kerja – atau lebih 5,000 kakitangan – termasuk pembekuan kenaikan pangkat dan pengambilan baharu hingga Disember 2026.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim turut menjelaskan bahawa kebanyakan pekerja terlibat adalah mereka yang berstatus kontrak.
Namun, beberapa pihak termasuk pembangkang menuduh kerajaan terlalu bergantung kepada dividen Petronas – meskipun keuntungan syarikat itu menyusut – hingga menjejaskan keupayaan syarikat untuk mengekalkan tenaga kerja.
Pertimbang semula tajaan korporat
Sementara itu, Ammar yang juga naib ketua Pemuda Amanah menggesa Petronas mempertimbangkan semula semua tajaan korporatnya.
"Apa keperluan berbelanja jutaan ringgit untuk tajaan tatkala Petronas terpaksa membuang pekerja bawahan untuk mengurangkan kos operasi?
"Selagi semua ini tidak dijelaskan kepada umum, khususnya gaji dan bonus pimpinan tertinggi, Pemuda PH berpendapat bahawa tindakan “right-sizing” tenaga kerja Petronas tidak harus dilaksanakan," katanya.
Jelas Ammar, isu sebenar bukanlah sama ada kebanyakan pekerja yang akan diberhentikan adalah berstatus kontrak ataupun tidak, namun lebih merupakan soal keadilan dan perkongsian tanggungjawab.

"Pada masa yang sama, AMH ingin mengingatkan pihak Petroleum Sarawak Bhd (Petros) dan Petronas agar menyelesaikan sebarang pertikaian dengan segera tanpa mengakibatkan kemerosotan drastik Petronas.
"Petronas adalah milik semua, termasuk penduduk Sarawak yang merupakan rakyat Malaysia," tambahnya.
Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof sebelum ini menjelaskan bahawa langkah Petronas mengurangkan tenaga kerjanya berpunca daripada cabaran global dan tidak berkaitan dengan isu syarikat minyak nasional itu dengan Petros.
Pada 21 Mei lepas, Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Sarawak mencapai persefahaman dengan menandatangani deklarasi bersama berhubung perkara yang melibatkan Petronas dan Petros.

Menurut deklarasi bersama itu, Petronas akan meneruskan fungsi, aktiviti, tanggungjawab dan kewajipannya yang diamanahkan kepada syarikat tersebut di Malaysia, di bawah Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA 1974) dan peraturannya.
Sebarang perjanjian antara Petronas dan anak-anak syarikatnya dengan pihak ketiga bagi tujuan penjualan gas asli cecair (LNG) daripada operasi huluan hingga eksport LNG kepada pihak asing kekal tidak terjejas
