Pemuda Amanah mencadangkan agar kerajaan melaksanakan reformasi menyeluruh terhadap sistem subsidi minyak masak bersubsidi yang disifatkan penuh ketirisan dan penyeludupan rentas sempadan.
Naib Ketua Pemuda Amanah Faris Arriffin berkata, sistem itu sebaiknya digantikan dengan pindahan tunai terus kepada pengguna secara bersasar dan berperingkat.
Katanya, subsidi minyak masak yang bertujuan meringankan beban rakyat telah menjadi lubuk keuntungan mudah kepada sindiket penyeludupan.
"Lebih membimbangkan, subsidi ini bersifat menyeluruh, membolehkan sesiapa sahaja, termasuk bukan B40 menikmatinya.
"Sudah tiba masanya untuk kita bukan sekadar mengekalkan bantuan, tetapi menaik taraf cara ia disampaikan. Daripada subsidi barang secara menyeluruh kepada subsidi tunai secara bersasar," katanya dalam kenyataan hari ini.
Dia mengulas laporan khas Malaysiakini berhubung minyak masak bersubsidi yang didapati diseludup dan boleh dibeli dengan mudah dan tanpa had pembelian di Pekan Golok, Narathiwat — hanya seberang Sungai Golok dari Rantau Panjang.
Baca: Minyak subsidi ‘ghaib’ di Malaysia, tapi berlambak di Golok
Jika di Malaysia pembelian hanya dihadkan kepada satu atau dua paket seorang, di sana pembeli boleh membelinya tanpa had, dengan harga mencecah dua kali ganda berbanding harga asal.

Menurut peniaga di sana yang hanya ingin dikenali sebagai Shakori, dia mendapat bekalan sekitar 20 hingga 30 kotak seminggu melalui pembekal.
Keadaan yang menjadi rahsia umum ini menimbulkan persoalan besar tentang keberkesanan sistem pengagihan subsidi minyak masak negara — dengan lebih RM1.5 bilion dibelanjakan setahun.
Contohi program Sara
Mengulas lanjut, Faris berkata kaedah pindahan tunai terus membolehkan bantuan disalurkan secara tepat sasaran kepada isi rumah B40 melalui pangkalan data kerajaan sedia ada.
"Dengan pendekatan ini, kerajaan berpotensi menjimatkan kira-kira ratusan juta ringgit setahun, yang boleh diguna semula untuk meningkatkan kebajikan rakyat secara lebih mampan.
"Subsidi bukan sekadar soal fiskal. Ia adalah soal maruah rakyat, kecekapan negara, dan keadilan sosial. Kita mesti pastikan setiap ringgit sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan, bukan ke poket penyeludup," katanya lagi.
Dia membangkitkan Program Sumbangan Asas Rahmah (Sara), iaitu bantuan tunai terus sebanyak RM100 sebulan yang telah memberi manfaat kepada 4.1 juta isi rumah B40.
Di Jordan pula, katanya lagi, program bantuan tunai yang diperluaskan kepada 220,000 isi rumah telah mengurangkan kadar kemiskinan sebanyak 1.4 peratus.
"Ia bukti bahawa pendekatan tunai bukan sahaja lebih telus, malah lebih berkesan," katanya.
