ULASAN SUKAN | Pertarungan mereka yang berlanjutan selama 87 minit di atas gelanggang mencatatkan tempoh masa hampir sama dengan satu perlawanan bola sepak.
Ya, senario itu merujuk kepada aksi membanggakan oleh Pearly Tan-M Thinaah pada final beregu wanita di Terbuka Indonesia yang berakhir dengan nota sedih di Istora Senayan, Jakarta, pada Ahad.
Satu ketika, penyokong tegar kita - yang menyaksikan perlawanan secara siaran langsung - seperti tidak bergerak dari kerusi masing-masing.
Hal itu kerana kelibat jaguh negara menerbitkan harapan bahawa mereka ada ramuan untuk menjulang mahkota kejuaraan Siri Super 1000 kali ini.
Namun, impian itu tidak kesampaian kerana pada akhirnya detik gemilang itu memihak kepada lawan - yang juga pemain nombor satu dunia - Liu Sheng Shu-Tan Ning dari China.
Keputusan muktamad ialah 25-23, 12-21, dan 19-21. Namun, ada sedikit penawar duka buat Pearly-Thinaah apabila mereka menerima imbuhan AS$50,750 (RM214,574) selaku naib juara kali.
Lawan mereka pulang dengan menguntum senyuman lebih berseri bersama hadiah wang bernilai AS$107,300 (RM453,671) sebagai juara baru.
Mungkin pasangan tersohor negara kita kalah dalam aksi perlawanan akhir yang penuh dengan debaran sehingga ke mata penamat, namun mereka tetap dihujani pujian oleh peminat di media sosial.
Tenang ketika genting
Majoriti peminat bukan saja gembira menyaksikan persembahan pasangan beregu wanita kita, malah kagum dengan semangat kesukanan dengan sifat tidak mudah mengalah mereka.
Malah, komitmen dan kesungguhan pasangan beregu negara dilihat berada pada tahap tertinggi.
Seperkara penting dipelajari daripada pencapaian pasangan yang bakal mendaki ke tangga ketiga ranking dunia ialah, mereka harus mengekalkan corak permainan konsisten ini serta sentiasa ‘berselera’ menyahut cabaran selepas ini.
Dari satu sisi, kita melihat Pearly-Thinaah masih mengulangi kesilapan sama dan sedikit terburu-buru mahu mencari mata atau menamatkan permainan walaupun ketika itu perlawanan berada pada detik genting.
Lawan mereka pula bukan calang-calang. Mereka jelas memiliki elemen yang diperlukan untuk menjulang kejuaraan.
Dengan pengalaman di pentas antarabangsa sekian lama yang dianggap sudah memadai, Pearly-Thinaah tetap melakukan beberapa kesilapan sama.
Hal itu berlaku ketika mereka pernah beberapa kali menyebut mahu mengamalkan sifat tenang dalam situasi tegang di atas gelanggang.

Seperti kata Pearly: “Saya melakukan dua kesilapan besar dan perlu belajar daripada situasi seperti ini. Harap saya akan lebih baik pada masa depan.”
Memang itu satu pengakuan jujur dan kita harap kata-kata sebegitu dapat diterjemahkan di atas gelanggang, sekali gus membantu mereka menggapai kejayaan lebih bermakna nanti.
Kita semua tahu bahawa masih ada kemampuan dan bakat yang belum diserlahkan sepenuhnya. Ia harus dikeluarkan segera buat menggerunkan lawan.
Masa untuk mempelbagaikan corak permainan serta taktik dan muslihat perlu mereka tonjolkan lebih kerap.
Benar, mereka nyaris merobohkan Tembok Besar China itu. Pemain lawan tidak menang mudah kali ini malah dipaksa memerah keringat untuk mendapat setiap mata.
Ia pastinya satu rangsangan baru kepada Pearly-Thinaah untuk menyambung rentak garang sehingga akhir musim Jelajah Dunia BWF.
Final lalu mungkin sudah membuka minda betapa jurang antara mereka dengan pasangan elit dunia sudah berjaya dirapatkan. Justeru Pearly-Thinaah harus melangkah ke tahap lebih tinggi secara konsisten.
V ASHOK ialah bekas Pengarang Sukan dan Pengarang Berita Luar Negara di Berita Harian.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.