Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahkamah arah tangguh sementara kes Yusoff Rawther terhadap Anwar

Mahkamah Rayuan hari ini mengeluarkan perintah ad-interim untuk menangguhkan sementara semua prosiding berkaitan saman sivil yang difailkan oleh Yusoff Rawther terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim berhubung dakwaan serangan seksual pada 2018.  

Keputusan itu dibuat selepas panel tiga hakim membenarkan permohonan Anwar untuk menangguhkan saman sivil itu sehingga keputusan dibuat berkenaan permohonan penangguhan penuh oleh perdana menteri.  

Perbicaraan bagi permohonan penangguhan penuh itu ditetapkan pada 21 Julai.  

Hakim Supang Lian, yang mengetuai panel, berkata keputusan itu dibuat sebulat suara.  

"Setelah mendengar hujahan peguam perayu dan responden, kami berpendapat bahawa bawah Seksyen 44 Akta Mahkamah Kehakiman 1964, kami mempunyai kuasa untuk mengeluarkan perintah ad-interim bagi mengekalkan integriti permohonan penangguhan oleh perayu, sementara menunggu pelupusan permohonan penangguhan tersebut.  

"Oleh itu, kami dengan ini mengeluarkan perintah ad-interim untuk menangguhkan semua prosiding, termasuk perbicaraan penuh di Mahkamah Tinggi, sehingga pelupusan permohonan penangguhan oleh perayu," katanya ketika menyampaikan keputusan.  

Mudarat tak boleh pulih

Keputusan ini bermakna semua prosiding berkaitan saman sivil, termasuk perbicaraan penuh yang dijadualkan bermula Isnin ini, akan ditangguhkan sehingga permohonan Anwar diputuskan di mahkamah.  

Dilaporkan bahawa perdana menteri memfailkan dua permohonan berasingan untuk menghentikan sementara saman Yusoff kerana dia sedang merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur minggu lepas.

Dalam keputusan itu, Hakim Ros Mawar Rozain menolak permohonan Anwar untuk menangguhkan saman tersebut dan merujuk lapan persoalan perlembagaan kepada Mahkamah Persekutuan.  

Sebelum ini, mahkamah mendengar hujahan daripada peguam Alan Wong Teck Wei dan Rafique Rashid Ali, yang mewakili Anwar dan Yusoff.  

Wong berhujah bahawa rayuan Anwar akan menjadi "sia-sia" jika saman itu diteruskan ke perbicaraan sebelum rayuan selesai, dan ini boleh menyebabkan mudarat tidak boleh dipulihkan (irreversible harm) kepada perdana menteri.  

Dia merujuk kepada tuntutan Yusoff dalam saman itu, yang menurut Wong hanyalah untuk ganti rugi kewangan, dan berhujah bahawa tiada mudarat kepada Yusoff jika kes itu ditangguhkan ke tarikh lain.  

"Saya ingin mengemukakan bahawa tiada mudarat tidak boleh pulih kepada responden (Yusoff) jika perbicaraan ditangguhkan."  

"Namun bagi perayu (Anwar) dan jawatan awam yang dipegangnya, yang tidak boleh dipisahkan, akibatnya akan menjadi nyata, tidak boleh pulih, dan signifikan dari segi perlembagaan," katanya.  

Jadual kerja perdana menteri  

Wong juga membuat permohonan lisan untuk memperkenalkan jadual kerja perdana menteri sebagai bukti bagi menyokong hujahan bahawa saman itu boleh mengganggu tugas awamnya.  

Rafique membantah permohonan itu dengan merujuk kepada prinsip akses kepada keadilan, dan berhujah bahawa bukti sedemikian sepatutnya dikemukakan dalam bentuk afidavit sebelum perbicaraan.  

Mahkamah kemudian memutuskan untuk mengambil maklum secara kehakiman bahawa jadual perdana menteri sentiasa padat, dan oleh itu tidak perlu mengemukakan jadual kerjanya.  

Rafique: Tiada alasan untuk lewatkan lagi  

Dalam hujahannya, Rafique menegaskan bahawa tarikh perbicaraan telah ditetapkan setahun lalu, dan Anwar mempunyai masa yang cukup untuk membuat persiapan.  

"Kes ini kini sudah benar-benar bersedia untuk dibicarakan. Tiada sebab, sama ada dari segi undang-undang atau prosedur, untuk sebarang kelewatan tambahan. Yang penting, tarikh perbicaraan telah ditetapkan lama dahulu dengan pengetahuan penuh kedua-dua pihak.  

"Sumber kehakiman yang besar telah diperuntukkan untuk memastikan penyelesaian efisien pertikaian ini. Memberikan penangguhan pada saat akhir ini, sama ada sementara atau sebaliknya, akan mengganggu jadual mahkamah dan menjejaskan hak responden untuk mendapatkan keadilan tepat pada masanya," kata peguam itu.  

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS