Adun Warisan Justin Wong menggesa Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor supaya memecat ahli politik yang terlibat dalam skandal rasuah berkaitan lesen cari gali mineral.
Dia membuat gesaan itu merujuk kepada kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki menyatakan bahawa kertas siasatan telah dikemukakan kepada pejabat pendakwa raya dan pertuduhan boleh dikenakan terhadap beberapa individu.
“Susulan pengumuman SPRM, Hajiji (atas) digesa memecat Speaker Dewan Undangan Negeri (Kadzim Yahya) dan lapan Adun GRS (Gabungan Rakyat Sabah) yang terlibat dalam skandal rasuah daripada jawatan mereka untuk menunjukkan rakyat Sabah bahawadia serius dan komited untuk memerangi rasuah, seperti yang dia dakwa sebelum ini,” katanya.
Antara yang terlibat dalam skandal itu ialah mereka yang mempunyai portfolio menteri negeri.
Wong berkata skandal itu telah mencemarkan nama baik dan imej Sabah, yang dilabel sebagai negeri paling korup di Malaysia.
Dia berkata ketua menteri dan Adun yang terlibat telah berdiam diri berhubung perkara ini terlalu lama.
“Mungkin mereka panik dan tidak tahu lagi berdalih, justeru rakyat Sabah menuntut penjelasan dan akauntabiliti daripada mereka.
“Rakyat Sabah berharap proses pendakwaan dapat dijalankan segera,” tambah Adun Sri Tanjung itu.
Sebelum ini, Hajiji menuduh pemberi maklumat yang mendedahkan skandal itu bersekongkol dengan pihak berkepentingan untuk menggugat pentadbirannya.
Ahli perniagaan yang dikenali sebagai Albert itu juga didakwa mahu memonopoli aktiviti perlombongan di negeri ini.
Sejak November tahun lalu, ahli perniagaan berusia 36 tahun itu telah mendedahkan rakaman video dan mesej WhatsApp yang didakwa membabitkan beberapa Adun Sabah.
Albert mendakwa dia merasuah Adun berkenaan sebagai balasan untuk mendapatkan lesen cari gali mineral.
Selain daripada menyerahkan video penuh, pemberi maklumat itu juga memberikan SPRM hampir 300 muka surat bukti, termasuk, antara lain, nama saksi, perbualan WhatsApp, log panggilan dan dokumen.