Dr Mahathir Mohamad sekali lagi mengecam Perdana Menteri Anwar Ibrahim berhubung tindakannya untuk mendapatkan imuniti dalam saman sivil.
Meneruskan keraguan terhadap ketidakbersalahan Anwar dan menegaskan bahawa salah atau benar seseorang hanya boleh dilakukan melalui mahkamah, Mahathir menyentuh mengenai implikasi yang lebih luas daripada imuniti dan memetik hipotesis membunuh.
“Kalau diberi imuniti berkenaan satu kes, tak akan kes lain tidak immune. Tentu immune punya.
“Jadi perdana menteri boleh bunuh orang pun okay-lah,” katanya melalui satu hantaran di media sosial hari ini.
Mahathir – yang telah lama dituduh menggugat kebebasan badan kehakiman dan agensi penguatkuasaan semasa menjadi perdana menteri – juga mengadu bahawa undang-undang itu tidak digunakan secara sama rata.
“Di Malaysia pelaksanaan undang-undang pilih bulu.
“Bagi satu orang yang mahkamah tinggi sudah hukum salah, hukuman tidak dilaksana kerana konon menunggu keputusan rayuan (appeal). Apabila appeal court juga mendapati ia salah, masih juga hukuman tidak dilaksana.
“Bagi orang lain sebelum pun dibicara di mahkamah, hanya semasa siasatan, mereka akan dimasuk dalam tahanan berbulan-bulan, harta dirampas, keluarga ditekan.
“Pendek kata sebelum pun didapati bersalah sudah dihukum, didera. Itu bagi orang lain.
“Jelaslah walaupun tertakluk kepada undang-undang yang sama tetapi pelaksanaan tidak sama.
“Memang benar dalam kes seperti membunuh atau mengedar dadah, yang dituduh boleh dimasuk dalam tahanan sementara siasatan dibuat.
“Tetapi kerap juga kes yang tidak serius, dimasuk dalam tahanan juga. Kemudian dibebas tanpa sebab,” katanya lagi.
Merujuk kepada gesaan Anwar untuk melakukan pembaharuan dan keadilan sejak dia disingkirkan dari kerajaan dan parti pada 1998, Mahathir berkata, kini jelas kepada umum siapa "pembohong sebenar".
Awal hari ini, Mahkamah Rayuan mengeluarkan perintah penangguhan sementara bagi semua prosiding membabitkan saman sivil yang dikemukakan Yusoff Rawther terhadap Anwar – yang menuduh ahli politik terbabit melakukan serangan seksual pada 2018.
Panel tiga hakim membenarkan permohonan Anwar untuk menangguhkan saman sivil Yusoff sementara menunggu pelupusan tawaran perdana menteri untuk mendapatkan penangguhan penuh.
Minggu lalu, Anwar menegaskan bahawa usahanya untuk menggantung saman terhadapnya bukan sekali-kali bertujuan untuk mendapatkan kekebalan peribadi daripada litigasi.
Sebelum ini, Mahathir berkata percubaan Anwar untuk mendapatkan kekebalan undang-undang memberi gambaran bahawa dia mungkin bersalah atas tuduhan yang didakwa ke atasnya.