Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said mencadangkan untuk kerajaan memperkenalkan undang-undang baru berikutan nahas bas yang meragut nyawa 15 pelajar universiti.
Azalina berkata sudah tiba masa kerajaan menilai keberkesanaan penguatkuasaan undang-undang sedia ada, selain mempertimbangkan keperluan memperkenalkan akta baru.
Azalina mencadangkan perundangan yang serupa dengan yang diamalkan di United kingdom, khususnya UK Corporate Manslaughter and Corporate Homicide Act 2007.
"Akta ini membolehkan sesebuah syarikat didakwa atas kegagalan serius dalam cara syarikat itu menguruskan keselamatan pekerja atau orang awam dan kecuaian yang mengakibatkan kematian.
"Akta ini diwujudkan di UK sbg tindak balas terhadap beberapa kes kematian di tempat kerja di mana tiada pihak korporat dapat dipertanggungjawabkan secara jenayah di bawah undang-undang terutamanya syarikat yang menyediakan perkhidmatan pengangkutan kerana ia melibatkan nyawa manusia yang tidak ternilai harganya," katanya di Facebook, hari ini.
Semalam, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad) telah mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada syarikat pengendali bas yang terlibat dalam kemalangan maut di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat berhampiran Tasik Banding, Gerik yang mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Pada masa sama, Jabatan Pengangkutan Jalan turut menjalankan Pemeriksaan dan Audit Keselamatan terhadap bas serta syarikat terbabit mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Akta Pengangkutan Awam Darat.
"Tindakan tegas akan diambil sejurus siasatan selesai. Setiap nyawa yang terkorban adalah satu kehilangan besar bukan sahaja kepada keluarga tetapi kepada masa depan negara," katanya menerusi hantaran di Facebook.
Selain itu, Loke berkata kerajaan akan terus memperkukuh dasar keselamatan jalan raya bagi melindungi pengguna terutama daripada ancaman pemandu tidak bertanggungjawab dan kenderaan berat yang tidak memenuhi piawaian keselamatan yang ditetapkan.