Pemandu bas yang terbabit dalam kemalangan yang meragut nyawa 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) memohon maaf kepada keluarga mangsa atas apa yang berlaku.
Menurut laporan Berita Harian, lelaki berusia 39 tahun itu berkata dia tidak memandu laju ketika itu, tetapi cuba mengelak kenderaan lain di saat “brek bas tidak berfungsi secara tiba-tiba”.
'Saya minta maaf kepada seluruh keluarga mangsa dan pelajar yang terbabit dalam kemalangan pagi semalam,” katanya.
Selain itu, dia juga berkata angin bas juga kosong, menyebabkan brek tangan tidak berfungsi dan gear tidak boleh ditukar.
"Saya tidak memandu laju sebagaimana yang tular kerana saya sendiri arif dengan laluan Jeli-Gerik, apatah lagi lokasi kejadian itu sedang menuruni bukit.
"Orang nampak saya memotong dan bawa laju sedangkan hakikat sebenar saya cuba mengelak dari melanggar kenderaan mereka namun disebabkan kejadian yang berlaku adalah kawasan selekoh, saya tidak mampu berbuat apa-apa,” katanya seperti dipetik.
Ketika brek tidak berfungsi, katanya lagi, dia menjerit kepada pelajar agar berjaga-jaga dengan sebarang kemungkinan.
"Mereka yang berada di kerusi depan mungkin sedar dengan arahan saya, namun yang berada di belakang kebanyakannya sedang tidur dan menyangka saya sedang marah.
"Saya jangka bas bergerak dalam keadaan brek tidak bergungsi sejauh lebih satu kilometer dan apa yang pasti saya sudah cuba yang terbaik sebagai pemandu bas untuk mengelak kemalangan itu,” katanya lagi seperti dipetik.
Dia yang menjadi pemandu bas sejak 2016 juga berkata, ini kali pertama dia terbabit dalam kemalangan yang meragut nyawa.
“...Sebagai pemandu bas, sudah tentu saya rasa sangat bersalah.
"Namun apa yang berlaku tidak mampu diundurkan masa, saya hanya mampu meminta maaf kepada semua dan saya menyerahkan siasatan kepada pihak polis," katanya lagi seperti dipetik.
‘Saringan teliti dibuat’
Pemilik syarikat pengendali bas berkenaan pula berkata pihaknya tidak pernah mengambil pemandu bas secara sembarangan tanpa melalui proses saringan yang sewajarnya.
Pegawai operasi Syarikat Kenari Utara, Nazri Nawi, turut berkata dua pemandu yang terlibat dalam kemalangan itu — salah seorang daripadanya merupakan pemandu gantian yang dipinjamkan daripada syarikat lain — adalah pemandu berpengalaman, mempunyai rekod bersih dan tidak diketahui terlibat dengan penggunaan bahan terlarang.
Dalam kemalangan yang berlaku antara jam 12.30 hingga 1.00 pagi itu, bas sewa khas yang dalam perjalanan dari Jertih, Terengganu ke Tanjung Malim, Perak telah melanggar sebuah Perodua Alza dari arah belakang sebelum hilang kawalan, terbabas dan merempuh penghadang lebuh raya.
Kemalangan tersebut turut mengakibatkan 33 individu lain cedera, termasuk pemandu dan pembantu bas serta pemandu dan tiga penumpang Perodua Alza.
Sementara itu, polis mengesahkan pemandu tersebut sebelum ini pernah dikenakan 18 saman, dengan kebanyakannya melibatkan kesalahan memandu laju.
Menurut Harian Metro, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Yusri Hassan Basri berkata 13 saman terhadapnya adalah kerana memandu melebihi had laju, manakala tiga lagi atas kegagalan memakai tali pinggang keledar.
Katanya, dua saman lain pula melibatkan satu kemalangan sebelum ini serta kes ketiadaan lampu brek ketiga.
kesemua 18 saman tersebut masih belum diselesaikan, katanya lagi.
Dia berkata bas yang terlibat dalam insiden semalam turut mempunyai 21 saman trafik.
"Bagaimanapun rekod saman ke atas bas terbabit 16 sudah dijatuhkan hukum manakala baki lima saman masih dalam siasatan," katanya lagi.