ULASAN SUKAN | Apakah sebenarnya kelebihan dan ramuan khusus dimiliki skuad bola sepak Vietnam sehingga mereka sentiasa dapat menewaskan Malaysia setiap kali kedua-dua pasukan bertemu?
‘Badi’ itu sudah berpanjangan selama 11 tahun dan entah bila agaknya ia dapat ditamatkan.
Tanda tanya itu mungkin akan terjawab – atau mungkin akan berterusan – pada malam ini apabila skuad Harimau Malaya berdepan pasukan Naga Emas itu dalam aksi kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Tanpa sebarang pilihan, kita harus menang dalam saingan penting Kumpulan F ini. Sudah tentu ketua jurulatih Peter Cklamovksi sedar hakikat itu. Dan di manakah tempat yang lebih baik melakukannya jika bukan di bumi sendiri?
Ingat, bagi saingan ini kemenangan harus dicipta dengan sebaik-baiknya di laman sendiri kerana hanya juara dalam setiap kumpulan akan layak ke pusingan akhir di Arab Saudi pada 2027.
Cklamovksi juga nampak sedikit selesa dengan barisan yang semakin stabil untuk menerbitkan rasa gelisah kepada Vietnam. Tambahan pula dengan bantuan gema bergema lebih 60,000 penonton di Bukit Jalil nanti.
Faktor ceria juga terarah kepada kehadiran lima pemain warisan baru. Namun, masih terlalu awal untuk membuat sebarang andaian.
Belum ada peningkatan mendadak
Maknanya sandaran kepada pemain utama seperti Arif Aiman Hanapi, Matt Davies, Stuart Wilkin, Ahmad Syihan Hazmi serta pemain naturalisasi seperti Paulo Josue dan Romel Morales masih menjadi faktor penentu untuk menjana serangan padu dari setiap sudut.
Selain itu, dua elemen – semangat sepasukan dan keyakinan diri – juga sama penting membantu cabaran negara, manakala aspek taktikal dan teknik mungkin memainkan peranan kedua kali ini.
Sebenarnya, dua elemen disebut tadi terbukti sentiasa ada pada skuad Naga Emas itu setiap kali menentang Harimau Malaya di mana saja.

Peminat tanah air – yang agak rimas pada saat ini – tentu tidak mahu lawan menjelmakan kekecewaan lagi pada malam ini. Sekarang adalah masa terbaik untuk pemain negara tampil mencantas lebih awal rentak garang pasukan pelawat itu.
Apa kata kali ini pemain negara kita pula ‘mencuri’ semangat dan keyakinan itu daripada Vietnam buat menyentap cabaran lawan
Tapi, apa yang dapat dilihat sebagai elemen baru pada skuad negara untuk mencuri tiga mata berharga itu?
Penulis melihat belum ada peningkatan mendadak secara keseluruhan dalam corak permainan melainkan wujud satu kerjasama baik antara pemain yang rajin mengejar dan merampas bola dari kaki lawan.
Sifat ini boleh dipuji. Selain itu pemain Harimau Malaya juga menunjukkan kesinambungan dalam serangan yang jarang terputus-putus kebelakangan ini.

Ia menjadi isyarat awal kepada Vietnam kerana mereka boleh terjebak dengan aliran bola yang serba laju dan pantas.
Cuma ilham barisan serangan dalam kotak penalti untuk mencuri peluang jaringan masih diragui.
Vietnam pula – yang berada pada tangga ke-109 ranking Fifa – adalah barisan yang sentiasa menyasarkan aksi di pentas benua.
Kali ini selera mereka tetap sama iaitu mencipta kemenangan dengan apa cara sekali pun.
Biar pulang gigit jari
Ketiadaan dua tonggak utama pelawat – Nguyen Cong Phuong dan Nguyen Xuan Son – yang dilanda kecederaan mungkin tidak menjejaskan kekuatan mereka kerana gaya Vietnam berkisar pada semangat berpasukan yang cukup tinggi sepanjang 90 minit.
Namun, dalam keyakinan itu, Vietnam tetap nampak bimbang juga dengan apa yang bakal disajikan Malaysia. Tambahan pula mereka tentu menyedari keberadaan lima pemain warisan yang baru diserapkan.
Kemampuan untuk seri 1-1 ketika menentang Cape Verde dalam perlawanan persahabatan baru-baru ini sekadar memberi gambaran pemain negara kita boleh menampilkan perwatakan lebih baik kali untuk menyaingi lawan pada setiap posisi nanti.

Mungkin pemain Harimau Malaya juga boleh mengambil inspirasi daripada semangat ditunjukkan barisan pemain badminton negara untuk memaksa Vietnam pulang menggigit jari kali ini.
Dalam siri Jelajah Dunia BWF baru-baru ini, tiga pasangan beregu badminton negara memperagakan aksi garang dengan sikap tenang dan konsisten untuk menjuarai empat gelaran dalam tempoh tiga minggu.
Jika Harimau Malaya mahu menang, mereka harus faham bahawa ia adalah tentang mentaliti kuat, semangat jitu dan keyakinan tinggi.
Ayuh, Harimau Malaya. Ini kalilah!
V ASHOK ialah bekas Pengarang Sukan dan Pengarang Berita Luar Negara di Berita Harian.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.