Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
AADK: Tiada kompromi pada kakitangan lepaskan individu positif dadah
Diterbitkan:  Jun 10, 2025 8:37 PM
Dikemaskini: 12:37 PM

Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) akan memberi kerjasama penuh kepada Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) berhubung siasatan beberapa pegawai AADK Negeri Sembilan didakwa melakukan kesalahan dengan melepaskan beberapa individu yang didapati positif dadah.

AADK dalam kenyataan hari ini berkata mereka tidak akan berkompromi sekiranya terdapat kakitangan yang terlibat dengan salah laku.

"Berhubung siasatan itu, AADK tidak sesekali berkompromi atau melindungi mana-mana kakitangan yang terlibat semua isu salah laku dan pelanggaran integriti.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana kakitangan jika didapati bersalah berdasarkan peruntukan perundangan sedia ada.

"AADK akan terus bekerjasama erat dengan EAIC dalam usaha peningkatan tadbir urus yang baik dalam agensi khususnya yang melibatkan siasatan terhadap sebarang aduan salah laku dan integriti dalam kalangan kakitangan AADK," kata Pengarah AADK Ruslin Jusoh dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, EAIC berkata siasatan dimulakan susulan aduan berhubung dakwaan kesalahan itu semasa serbuan di Kampung Felda LBJ, Labu, Negeri Sembilan, pada 8 Mac 2023.

Menurut EAIC, terdapat keterangan menunjukkan beberapa individu positif dadah semasa serbuan dilepaskan, sekali gus merupakan kesalahan bawah seksyen 221 Kanun Keseksaan.

"Beberapa orang pegawai AADK didapati tidak mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) AADK yang berkaitan semasa melaksanakan operasi tersebut.

"Siasatan ini dijalankan berdasarkan kepada aduan yang diterima mengikut subseksyen 27(4) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 [Akta 700],” katanya.

Sehubungan itu, EAIC memutuskan untuk merujuk dapatan perlakuan jenayah kepada pendakwa raya menurut subperenggan 30(1)(c) Akta 700.

Ini termasuk merujuk dapatan berkaitan kesalahan tatatertib oleh pegawai-pegawai AADK terlibat kepada pihak berkuasa tatatertib dengan syor hukuman tatatertib menurut subperenggan 30(1)(b) Akta 700.

Sementara itu Ruslin berkata, AADK sentiasa mengingatkan kepada semua kakitangan untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan penuh berintegriti dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) serta garis panduan berdasarkan Sistem Pengurusan Anti Rasuah (ABMS).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS