Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Agenda reformasi perlu masa, konsensus sekutu - Anwar
Diterbitkan:  Jun 10, 2025 9:11 PM
Dikemaskini: 1:11 PM

Di tengah-tengah kritikan berterusan mengenai reformasi yang berjalan perlahan, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata dia sedang melakukan yang terbaik untuk mendorong agenda reformasi.

Bagaimanapun, dia berkata agenda itu mengambil masa dan memerlukan sokongan daripada gabungan Pakatan Harapan, yang menurutnya tidak mempunyai majoriti mudah di Parlimen.

"Ada yang tidak sabar. Anda boleh bergerak pantas dan dijatuhkan esok, jadi ia perlu dilakukan dengan bijak.

"Hikmah sangat bermakna, bukan sahaja dalam cara anda bercakao, tetapi juga bagaimana anda bertindak. Adakah anda mempunyai sumber? Adakah anda mempunyai sokongan yang diperlukan? Adakah anda mampu meyakinkan elit pemerintah dan elit profesional bahawa ini adalah misi yang mesti disokong oleh semua?

"Dan, apakah peringkatnya? Di mana anda bermula? Bolehkah anda melakukan pembaharuan besar-besaran ini dalam setahun, atau dua tahun, atau tiga tahun? Saya tidak tahu. Saya tidak mempunyai semua jawapan.

"Tetapi apa yang saya tahu tiada patah balik. Apa yang saya pasti setiap bulan dan setiap tahun, mesti ada perkembangan," katanya.

Anwar menyampaikan ucaptama pada pelancaran Pusat Kecemerlangan Penyelidikan dan Inovasi dalam Ekonomi Islam (i-Rise) di Kuala Lumpur hari ini, yang disiarkan dalam talian.

Dia menambah bahawa mereka yang tidak sabar dan mahu reformasi dilaksanakan lebih awal adalah "buta kepada fakta dan realiti".

Dia berkata kerana PH hanya mempunyai 81 daripada 222 kerusi di Parlimen, ia perlu bekerjasama dengan rakan kongsi seperti BN, Gabungan Parti Sarawak (GPS), dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk membina konsensus mengenai agenda reformasi.

Perdana Menteri dan Pengerusi Pakatan Harapan Anwar Ibrahim (kiri) dan Timbalan Perdana Menteri dan Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi

“Kami bertuah kerana Umno dan BN kini telah menjadi salah satu tonggak teras yang komited kepada pembaharuan dan sokongan ini, tetapi anda tidak boleh mengambil mudah kerana proses, rundingan, perbincangan, penglibatan adalah penting…

"Jika anda tidak mendapat kata sepakat antara pihak utama, termasuk GPS dan GRS, maka bagaimanakah anda memulakan dan menyokong program alternatif ini (seperti i-Rise)?" kata pengerusi PH itu.

Anwar dikritik kumpulan masyarakat sivil dan juga dalam partinya berhubung reformasi institusi, yang dianggap terlalu perlahan.

Antaranya ialah Ahli Parlimen Subang dan ahli jawatankuasa pusat PKR Wong Chen, yang baru-baru ini mengumumkan percutian dua minggu di Perancis untuk merenung masa depan politik ini.

"Begitu banyak masa (15 tahun) dan usaha telah dihabiskan untuk berkuasa, tetapi sekarang, saya tidak dapat menahan rasa bimbang yang mendalam bahawa kita mempunyai sedikit pembaharuan untuk ditunjukkan," kata Wong dalam catatan Facebook pada Ahad.

"Saya tahu kita boleh mencapai lebih banyak pembaharuan dan satu-satunya cara untuk melakukan ini ialah kita, ahli parlimen, mesti mendesak kerajaan lebih keras sebagai backbencher," katanya


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS