Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Persatuan pengguna bimbang kesan SST pada buah-buahan import

Semasa membentangkan Belanjawan 2025, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyebut buah avokado sebagai contoh buah import "premium" yang bakal menjadi lebih mahal di bawah skim Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang diperluas.

Namun begitu, pengumuman kerajaan semalam mendedahkan bahawa semua buah import – termasuklah epal yang biasa – telah dikategorikan sebagai barangan tidak penting dan akan dikenakan cukai jualan sebanyak lima peratus.

Cukai baru itu dijangka berkuat kuasa pada 1 Julai nanti. Bimbang terhadap kesannya, kumpulan pengguna memberi amaran bahawa tekanan harga boleh membawa kesan negatif terhadap kesihatan kerana ia boleh mengurangkan pengambilan buah oleh orang awam.

Walaupun buah tempatan masih dikecualikan daripada cukai jualan, Ketua Pegawai Operasi Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Nur Asyikin Aminuddin, mengingatkan bahawa peralihan daripada buah import akan memberi tekanan kepada pasaran bekalan tempatan.

Mengakui perubahan itu boleh membawa kesan positif kerana permintaan terharap buah-buahan tempatan meningkat, Fomca berpendapat, ada aspek lain yang perlu difikirkan.

“Ia juga boleh menimbulkan persoalan sama ada bekalan buah tempatan mampu memenuhi permintaan yang meningkat atau tidak,” katanya kepada Malaysiakini.

Memahami usaha kerajaan itu diambil bagi memperluaskan asas SST dan meningkatkan hasil negara, Nur Asyikin turut membangkitkan kemungkinan harga buah tempatan semakin mahal akibat permintaan tinggi.

Galak tanam pokok sendiri

Keadaan itu, katanya, menyukarkan golongan kurang berkemampuan mendapatkan nutrien penting daripada buah-buahan tempatan.

“Jika buah tempatan semakin dicari, kita berharap harganya kekal berada pada tahap mampu milik untuk semua pengguna dan tidak meningkat disebabkan permintaan tinggi,” tambahnya.

Buah tempatan juga mungkin tidak semurah yang disangka.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader, menyatakan ada buah-buahan tempatan yang harganya lebih mahal daripada sesetengah buah import disebabkan isu bekalan.

“Terdapat kekurangan buah tempatan di pasaran sehinggakan Malaysia terpaksa mengimport daripada Thailand beberapa jenis ‘buah tempatan’ yang dahulunya banyak ditanam di kebun dan dusun di sini,” katanya ketika dihubungi.

Dia menyatakan isu tersebut berlaku ekoran kekurangan tanah pertanian di negara ini selepas kawasan pertanian ditukar menjadi kawasan perumahan dan pusat komersial.

“Akibatnya, keluarga membeli kurang buah. Maka, mereka kekurangan vitamin, mineral dan serat yang penting untuk kesihatan.

“Selain itu, kanak-kanak yang tidak biasa makan buah mungkin akan menolak rasa dan teksturnya,” tambahnya lagi.

Mohideen turut mencadangkan agar kerajaan meningkatkan pengeluaran buah-buahan tempatan bagi memastikan harga terkawal sebelum melaksanakan cukai jualan ke atas buah-buahan import.

Jika langkah itu diambil, katanya, barulah pelan kerajaan boleh dianggap wajar.

Pada masa sama, katanya, orang ramai perlu digalakkan agar menanam sendiri pokok buah-buiahan tempatan di sekitar kawasan rumah masing-masing jika ada ruang untuk berbuat demikian.

Selain buah import, cukai jualan lima peratus turut akan dikenakan ke atas produk seperti ketam raja, salmon, ikan kod, cendawan trufel, minyak pati, fabrik sutera, dan jentera industri.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS