Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Naik taraf jalan tanpa tunggu orang besar nahas, kata ulama Umno
Diterbitkan:  Jun 11, 2025 2:47 PM
Dikemaskini: 6:47 AM

"Kita tidak perlu menanti orang besar dan berkepentingan negara berhadapan nahas di lebuh raya itu untuk menggemparkan negara lalu diusahakan segera dinaik taraf," demikian penegasan oleh Timbalan Pengerusi Majlis Ulama Umno Mohd Khairuddin Aman Razali.

Dia berkata demikian sebagai mengulas desakan agar ada tindakan segera dilakukan kerajaan susulan kerajaan kemalangan yang mengakibatkan kematian 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat berdekatan Tasik Banding, Gerik, pada Isnin lalu.

Menyifatkan keperluan menaik taraf jalan raya itu sangat mendesak, bekas ahli Parlimen Kuala Nerus itu turut berkongsi pengalamannya terlibat dengan kemalangan ketika melalui jalan raya berkenaan.

Menurutnya, pengguna yang melalui Jalan Raya Timur Barat bermula dari Jeli dan berakhir di Gerik tentu bersetuju bahawa laluan berkenaan berisiko tinggi untuk kemalangan dan sangat bahaya, apatah lagi jika melaluinya pada waktu malam dengan suasana gelap tanpa lampu jalan.

"Punca bahaya ialah kerana terlalu banyak selekoh termasuk selekoh tajam, cerun, curam, laluan mendaki, tiada pembahagi tengah, laluan satu lorong sehala di kebanyakan perjalanan dan berhadapan dengan kenderaan berat seperti lori dan bas yang bertali arus yang selalu juga rosak tersadai di tepi jalan.

"Di samping itu tampungan jalan di sana-sini sepanjang perjalanan yang tentu sahaja ada yang kurang sempurna. Tambahan lagi berkabus pada waktu tengah malam dan tiada lampu jalan di waktu malam.

“Semua itu menjadikan hati sentiasa tidak tenteram sepanjang pemanduan,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Tambah Mohd Khairuddin jiwanya hanya akan tenteram sedikit apabila tiba di laluan dua lorong bagi setiap hala serta memiliki pembahagi jalan.

Dengan kemudahan itu, katanya, pengguna jalan raya akan dapat memandu dengan lebih selesa dan selamat apabila kenderaan berat berada di lorong kiri.

Tak ada pilihan lebih baik

Pun begitu, tambahnya lagi, ketenangan itu hanya bertahan seketika apabila laluan selepasnya kembali sempit dengan jalan selorong saja.

Pada 9 Jun lalu seramai 15 penuntut UPSI meninggal dunia apabila bas sewa khas yang dalam perjalanan dari dari Jertih, Terengganu ke kampus utama universiti itu di Tanjung Malim, Perak mengalami kemalangan ngeri.

Insiden itu turut mengakibatkan 33 lagi cedera termasuk pemandu dan kelindan bas, selain pemandu dan tiga penumpang kereta Perodua Alza.

Mohd Khairuddin berkata, dia sendiri terlibat dalam kemalangan jalan raya pada 2017 semasa bersama anak-anaknya dalam perjalanan dari Kedah ke Terengganu untuk menyambut hari raya.

"(Kemalangan itu) kerana dilanggar dari belakang oleh kereta yang terbabas ketika ia memotong kereta lain di kawasan berselekoh.

“Saya terpaksa mengambil kereta lain untuk pulang beraya kerana kereta sudah teruk kemalangan memerlukan baik pulih lebih sebulan.

"Walaupun dengan pelbagai risiko termasuk bahaya binatang liar seperti gajah seperti mana yang selalu tular di media sosial, para pengguna dari Pantai Timur ke Pantai Barat dan sebaliknya tiada pilihan lain kerana itulah laluan terdekat berbanding laluan lain,” katanya.

Dia yang juga bekas menteri berkata, kerajaan persekutuan perlu segera menilai keperluan untuk menaik taraf jalan raya yang berusia 42 tahun itu yang fasa pertamanya menghubungkan Jeli - Gerik disiapkan pada 1982.

Katanya, laluan tersebut perlu dinaik taraf kepada dua lorong sehala beserta pembahagi jalan.

"Selama 42 tahun dulu perbelanjaan sebanyak RM296 juta dikeluarkan oleh kerajaan untuk menghubungkan Lunas, Kedah ke Pasir Putih, Kelantan melalui Gerik dan Jeli sepanjang 225 kilometer.

"Saya yakin ramai rakyat menyokong keperluan menaik taraf laluan ini agar sekurang-kurangnya tragedi yang sangat tragis meragut nyawa 15 anak-anak kita yang sedang menuntut ilmu ini tidak lagi berulang," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS