Perikatan Nasional (PN) mengecam tindakan Petronas yang merancang untuk memberhentikan kira-kira 5,000 pekerja kontrak – bersamaan hampir 10 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja syarikat – sambil mempersoalkan peranan kerajaan dalam melindungi kebajikan pekerja syarikat milik negara itu.
Pengerusi PN, Muhyiddin Yassin, menyifatkan tindakan pemberhentian secara besar-besaran itu sebagai “tidak berperikemanusiaan”, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan pekerja yang telah lama berkhidmat dan mempunyai tanggungan keluarga.
“Walaupun mereka pekerja kontrak, ramai daripada mereka sudah lama berkhidmat. Mereka ada keluarga yang perlu disara.
“Pemberhentian mengejut tanpa peluang latihan atau sokongan untuk menjana pendapatan adalah satu tindakan zalim,” kata Muhyiddin dalam satu kenyataan hari ini.

Bekas perdana menteri itu menegaskan bahawa pemberhentian kerja sepatutnya dibuat secara berperingkat, dengan disediakan latihan keusahawanan dan bantuan modal untuk membolehkan mereka beralih kepada bidang lain sesuai dengan kemahiran masing-masing.
Muhyiddin turut mencadangkan agar dana-dana sedia ada, khususnya yang diperuntukkan untuk pembangunan usahawan Bumiputera, digunakan bagi menyokong pekerja terbabit agar dapat “berdiri di atas kaki sendiri”.
Petronas untung besar
Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, meskipun tidak menafikan bahawa Petronas sedang berdepan cabaran global, termasuk kejatuhan harga minyak dan peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui, namun, syarikat itu masih mencatatkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM55.1 bilion pada tahun lalu. Ini adalah penurunan 32 peratus berbanding RM80. 7 bilion pada tahun sebelum ini.
Dia turut membangkitkan isu pertikaian antara Petronas dan syarikat minyak negeri Sarawak, Petros, yang menurutnya memberi kesan bukan sahaja kepada pendapatan Petronas, tetapi turut menjejaskan keseluruhan industri minyak dan gas negara.

Muhyiddin berkata, akhbar The Edge pada 2 Jun lalu melaporkanbeberapa syarikat minyak dan gas di negara ini telah mencatatkan penyusutan pendapatan atau kerugian pada suku pertama 2025.
Antara sebab utamanya ialah pengurangan penggunaan vesel dan kelewatan Petronas memulakan kerja-kerja eksplorasi akibat pertikaiannya dengan Petros.
“Sekiranya keadaan ini berterusan, bukan sahaja Petronas dan pekerjanya yang berhadapan keadaan yang tidak menentu, malah keseluruhan syarikat dan pekerja yang terlibat dalam industri minyak dan gas negara akan terjejas.
“Pada masa ini terdapat 70,000 pekerja yang terlibat dalam industri perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas di Malaysia,” katanya.
Pelan kelestarian Petronas diperlukan segera
Dalam kenyataan sama, Muhyiddin turut menggesa kerajaan agar segera membentangkan satu pelan kelestarian menyeluruh bagi Petronas dan hala tuju industri minyak dan gas negara.
Dia juga memberi peringatan kepada kerajaan agar lebih berhemah dalam menggunakan dana dividen Petronas, terutama dalam keadaan ekonomi yang lemah dan hutang negara yang semakin meningkat.
“Sebagai syarikat milik negara yang menyumbang sejumlah dividen yang besar kepada kerajaan dan memainkan peranan penting dalam pembangunan negara, kepentingan Petronas dan pekerjanya mesti sentiasa dilindungi oleh kerajaan,” katanya.
Muhyiddin juga menegaskan bahawa kerajaan tidak boleh terus memerah keuntungan Petronas tanpa memastikan kebajikan pekerja dijaga dan kelangsungan syarikat diberi keutamaan.
