Anggota Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis mencadangkan agar pemandu cuai yang menyebabkan kematian diwajibkan membayar pampasan dan berpuasa dua bulan berturut-turut, sebagai pengajaran kepada pesalah dan masyarakat.
Muhamad Rozaimi Ramle – Rektor Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) – berkata demikian ketika menyokong pandangan Mufti Wilayah Persekutuan Ahmad Fauwaz Fadzil berkaitan perkara sama.
Cadangan itu kembali menjadi sorotan susulan tragedi pada 9 Jun lalu yang mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam nahas bas ekspres di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), dekat Gerik – antara insiden kemalangan paling buruk tahun ini.
“Tak kira bagaimana ia mahu dilaksanakan atau dinamakan, ahli-ahli parlimen Malaysia perlu memikirkan mekanisme untuk memastikan keluarga mangsa kemalangan menerima pampasan yang setimpal.
“Ini adalah antara jaminan yang disediakan oleh hukum Islam kepada waris si mati – dan wajar diberi perhatian serius dalam perundangan kita.
“Bagi pemandu yang cuai, mereka seharusnya diwajibkan berpuasa selama dua bulan berturut-turut sebagai pengajaran – bukan hanya untuk diri sendiri, tetapi juga sebagai peringatan kepada orang lain agar lebih berhati-hati ketika memandu,” katanya kepada Malaysiakini.
Terdahulu, Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin turut mengeluarkan pandangan sama kerana nyawa manusia tidak boleh dipandang ringan, khususnya apabila melibatkan kecuaian di jalan raya.
Malah, katanya, Perlis telah pun mengeluarkan fatwa berkaitan perkara itu pada 2022.
Bekas mufti Wilayah Persekutuan, Dr Zulkifli Mohamad turut berkongsi pandangan sama yang pernah dibawanya semasa menjawat jawatan tersebut tiga tahun lepas.
