Wanita PKR mengecam sekeras-kerasnya kewujudan laman media sosial “Grup Budak Sekolah” yang dipercayai mengandungi unsur jenayah pengantunan dan gangguan seksual terhadap kanak-kanak.
Dalam satu kenyataan, Wanita PKR menuntut agar tindakan tegas dan segera diambil oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), serta Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bagi menangani kelucahan melampau dan ekploitasi seksual terhadap kanak-kanak.
"Pihak berkuasa perlu memastikan kanak-kanak terus dilindungi di bawah undang-undang Negara.
"Wanita Keadilan (PKR) juga menyeru ibu bapa dan seluruh masyarakat untuk sentiasa cakna dan bertanggungjawab melindungi kanak-kanak daripada elemen keganasan seksual termasuk memantau kewujudan halaman/kumpulan media sosial yang mempunyai unsur kelucahan, jenayah pengantunan dan gangguan seksual serta memantau komen jelik yang menyentuh maruah kanak-kanak,” katanya.
Semalam, pempengaruh media sosial dari Kelantan, Mekyun mendedahkan kewujudan kumpulan Facebook yang dikatakan mempromosikan kandungan tidak senonoh melibatkan kanak-kanak.
Mekyun berkata, dia dimaklumkan mengenai kewujudan kumpulan itu selepas pengikutnya memaklumkan gambarnya ketika masih bersekolah tersebar dalam kumpulan Facebook berkenaan.
Mekyun atau nama sebenarnya Wee Yun Nee turut meminta pengikutnya membuat laporan terhadap kumpulan berkenaan dengan harapan pihak Meta akan mengambil tindakan tegas.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa hari ini berkata kerajaan memandang serius ancaman siber yang berlaku mutakhir ini khususnya terhadap kanak-kanak.
Menurutnya, sebanyak 27 peratus murid di Malaysia mengakui pernah menjadi mangsa buli siber manakala 13 peratus pernah membuli orang lain secara dalam talian.
Tambahnya, angka itu sangat membimbangkan dan mencerminkan betapa seriusnya ancaman dunia digital terhadap kesihatan mental dan keselamatan pelajar sekolah.
“Oleh itu, pendekatan pendidikan yang menyeluruh dan berstruktur adalah penting dalam membentuk daya tahan murid terhadap risiko siber.
“Undang-undang dan penguatkuasaan semata-mata tidak mencukupi. Nilai hanya boleh dibentuk melalui pendidikan yang berterusan dan pendedahan yang jelas.
“Hal ini kerana kejadian di alam siber akan memberi kesan dan bukan sahaja menjejaskan tumpuan, tetapi juga boleh membawa kepada penderitaan jangka panjang,” tambahnya.
