Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Puad minta KPM ambil tindakan tegas guru hina kematian pelajar UPSI
Diterbitkan:  Jun 12, 2025 4:57 PM
Dikemaskini: 8:57 AM

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Mohd Puad Zarkashi, meminta Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil tindakan tegas terhadap guru yang menghina kematian 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam nahas bas persiaran di Gerik, Isnin lalu.

Bekas timbalan menteri pendidikan itu berkata, bukan sahaja rakyat marah, malah warga pendidik juga turut berang dengan kenyataan yang meninggung keluarga mangsa itu.

"KPM wajib bertindak keras terhadap guru yang menyinggung perasaan keluarga pelajar UPSI yang terkorban. Bukan sahaja rakyat marah, rasanya warga guru juga marah. Kerana nila setitik rosak susu sebelanga,” kata Puad dalam hantaran di media sosial.

Baru-baru ini guru lelaki berkenaan mengundang kemarahan dan kecaman ramai apabila mengatakan pelajar yang terkorban dalam nahas itu meninggal dunia dalam keadaan berhutang dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Bagaimanapun, guru itu semalam tampil membuat permohonan maaf dan memandam hantaran berkenaan di Facebooknya selepas menerima kritikan pelbagai pihak.

Dia juga dikatakan mengakui menghidap masalah mental.

“Assalamualaikum. Di sini, saya ingin memohon maaf terhadap insiden yang berlaku kepada pelajar UPSI.

"Semoga mereka di tempat bersama orang-orang yang beriman dan mendapat husnul khotimah,” tulisnya di Facebook.

Mengulas lanjut, Mohd Puad berkata isu berhutang itu tidak timbul kerana Kementerian Pendidikan Tinggi memberi pengecualian kepada pelajar yang meninggal dunia.

"Kebiasaannya selepas solat jenazah, waris akan berucap, jika si mati ada hutang jumpalah keluarganya untuk menuntutnya. Sebab itu terima kasih KPT (Kementerian Pendidikan Tinggi) kerana beri pengecualian bayar balik jika ada yang meminjam PTPTN," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Puad juga menggesa KPM menjalankan siasatan sekiranya guru berkenaan menghidap masalah mental.

"Kalau benar guru itu mengidap penyakit skizofrenia, KPM mesti buat siasatan rapi. Ia penyakit mental. Bagaimana dia boleh jadi guru? Jika penyakit itu datang kemudian, kita bimbang mungkin ada lagi guru skizofrenia di sekolah,” ujarnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS