Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Amanah Johor lobi dua kerusi menteri
Diterbitkan:  Jun 12, 2025 6:51 PM
Dikemaskini: 10:51 AM

Pemimpin Amanah Johor meminta Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberi ruang kepada parti itu untuk mengisi kekosongan Kabinet selepas dua menteri mengumumkan peletakan jawatan sebelum ini.

Naib Pengerusi Amanah Johor, Zuhan Zain, berkata parti itu cukup konsisten mempertahankan kerajaan perpaduan dari serangan pihak lawan.

"Parti Amanah negeri Johor melihat tidak salah rasanya untuk Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi peluang kepada parti Amanah lebih tempat dalam kabinet hari ini.

"Hal ini berikutan dari apa yang telah ditonjolkan oleh kepimpinan parti Amanah melalui barisan pemimpinnya yang sentiasa memberikan kesungguhan mempertahankan gabungan kerajaan perpaduan dari serangan lawan.

"Selain itu, prestasi yang ditonjolkan oleh kesemua lantikan dari pemimpin Amanah yang bersungguh berkerja memberikan yang terbaik dalam kerajaan termasuklah perjuangan Rahmah yang telah dibawa oleh mantan pemimpin kanan parti Amanah Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub dan Presiden Datuk Seri Mohamad Sabu yang memangku jawatan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan ketika ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada 1 Jun, Anwar berkata tiada keperluan mendesak untuk melakukan rombakan kabinet susulan peletakan jawatan dua menteri dari PKR dan tindakan seorang menteri Umno keluar parti.

Menurut laporan Bernama, Anwar berkata kerajaan kekal berfungsi di sebalik perkembangan yang berlaku.

"Tiada keperluan mendesak untuk rombakan sekarang. Dua menteri sudah letak jawatan, (dan) kami memberikan masa kepada mereka untuk memikirkan apa yang mereka mahu lakukan.

"Kini mereka sedang bercuti. Saya sudah luluskan permohonan cuti mereka. Saya rasa kita tidak perlu buat andaian," katanya seperti dipetik.

Sementara itu, Zuhan berkata meskipun kerusi itu merupakan kuota PKR, namun mereka menawarkan diri kerana langkah sama dakwanya dibuat oleh Umno.

"Sememangnya Amanah melihat kekosongan dari dua kementerian tersebut adalah kuota dari PKR, namun tindakan menamakan pemimpin dari kalangan luar PKR oleh Umno telah membuka ruang kepada semua parti gabungan kerajaan perpaduan untuk menamakan pemimpin mereka," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS