Persatuan Teoh Beng Hock Untuk Kemajuan Demokrasi menjelaskan mereka tidak meminta DAP keluar daripada kerajaan sebagai tanda protes terhadap keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) mengklasifikasikan kematian Beng Hock sebagai “tiada tindakan lanjut” (NFA).
Sebaliknya, pengerusi persatuan itu, Ng Yap Hwa mencadangkan agar parti itu mencalonkan pemimpin DAP lain untuk menggantikan lima menteri mereka ketika ini — sebaiknya mereka yang lebih komited untuk menyelesaikan kes Teoh yang telah berlarutan sejak sekian lama.
“Kami hanya minta lima menteri ini berundur — kami tidak minta DAP keluar daripada kerajaan. Jika lima menteri ini gagal menjalankan tugas mereka, mereka harus beri laluan kepada Ahli Parlimen DAP lain yang mungkin lebih berkesan dalam memperjuangkan keadilan untuk Beng Hock.
“Sebagai contoh, Ahli Parlimen seperti Chow Yu Hui (Raub), Tan Hong Pin (Bakri), Khoo Poay Tiong (Kota Melaka) dan Ramkarpal Singh (Bukit Gelugor), yang sebelum ini pernah membangkitkan isu ini.”
“Mengapa tidak? Biar mereka cuba. Mungkin akhirnya mereka yang berjaya selesaikannya,” kata Ng kepada Malaysiakini dalam satu temu bual podcast berbahasa Cina.

Episod tersebut, yang turut menampilkan adik perempuan Beng Hock, Lee Lan, sebagai tetamu, disiarkan malam ini di YouTube, Spotify dan Apple Podcasts.
Pada 20 Mei, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) memaklumkan kepada peguam keluarga Teoh, Ramkarpal Singh, bahawa keputusan NFA oleh AGC dibuat pada 19 Mei.
Pada 25 Mei, Ng menggesa lima menteri DAP meletakkan jawatan sebagai protes terhadap keputusan NFA oleh AGC.
Dalam podcast itu, Ng menegaskan bahawa memandangkan DAP sering memperjuangkan prinsip kebertanggungjawaban dan meritokrasi, maka jika menterinya gagal melaksanakan tanggungjawab, mereka harus berundur dan memberi laluan kepada yang lain.
Dia turut menekankan bahawa persatuan itu mengalu-alukan sesiapa sahaja yang ingin “menggunakan” atau “mengambil kesempatan” terhadap mereka.
“Kami alu-alukan sesiapa sahaja untuk guna kami, kerana dalam mana-mana gerakan masyarakat, kita perlu himpunkan semua kekuatan,” katanya, menjawab dakwaan bahawa mereka pernah dipergunakan oleh DAP dan PH sebelum ini.

Ng berkata gerakan mereka sentiasa terbuka kepada penyertaan semua parti politik dan masyarakat sivil.
Tambahnya lagi, selain DAP, parti-parti seperti Gerakan, MUDA, PSM, dan PRM juga pernah menyertai acara mereka sebelum ini.
Dia menyatakan bahawa PH dan DAP pernah memperjuangkan isu dibawa mereka ketika menjadi pembangkang, dan mereka menghargai sokongan tersebut pada masa lalu itu.
Namun, kini apabila gabungan tersebut berada dalam kerajaan, dia menegaskan bahawa peranan mereka perlu berubah seiring.
“Sekarang kamu adalah sebahagian daripada pemerintah, maka kamu mesti bertindak seperti pemerintah, dan bertanggungjawab. Dahulu, tokoh pembangkang seperti Lim Kit Siang pernah berkata bahawa pembangkang mesti memantau kerajaan dan menuntut kebertanggungjawaban,” katanya.
