Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Peguam gesa polis sahkan sudah soal Anwar, Farhash atau belum
Diterbitkan:  Jun 13, 2025 10:58 AM
Dikemaskini: 3:34 AM

Ketua Polis Negara Razarudin Husain digesa mengesahkan sama ada pihak berkuasa telah menyoal individu penting yang dinamakan dalam laporan sebelum ini yang difailkan oleh Yusoff Rawther ketika mendakwa dia diperangkap.

Dalam surat kepada Razarudin hari ini, peguam Yusoff mempersoalkan sama ada polis telah menyiasat atau merekodkan kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan bekas pembantunya Farhash Wafa Salvador.

"Semasa perbicaraanya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, laporan polis Dang Wangi telah dikemukakan dan juga diletakkan kepada dua pegawai penyiasat masing-masing kes senjata dan dadah.

“Tiada jawapan tuntas diperoleh mengenai status siasatan laporan ini," kata surat yang dihantar oleh firma guaman Law Practice of Rafique.

Syarikat guaman itu juga berkata jika Razarudin atau PDRM gagal memberi maklum balas secukupnya terhadap surat itu dalam tempoh tujuh hari, anak guam mereka berhak untuk meneruskan tindakan undang-undang selanjutnya.

Surat itu juga dihantar kepada Ketua Polis Kuala Lumpur Rusdi Mohd Isa, ketua balai polis Dang Wangi, dan timbalan pengarah bahagian pendakwaan dan undang-undang Jabatan Siasatan Jenayah, Zainal Abdullah.

Malaysiakini telah menghubungi Razarudin dan pasukan komunikasi Bukit Aman untuk maklum balas terhadap perkara itu.

Menurut salinan laporan polis Yusoff yang difailkan pada 12 Sept tahun lepas dan dilampirkan dalam surat itu, dia mendakwa tidak pernah terlibat dalam sebarang aktiviti melibatkan dadah atau senjata api.

Dia menambah bahawa dia adalah mangsa penganiayaan dan perangkap oleh Anwar dan Farhash, dengan mendakwa bahawa tuduhan terhadapnya bertujuan untuk menjejaskan kehidupannya dan menutup saman sivilnya terhadap Anwar.

Yusoff, yang ditahan reman selama sembilan bulan dan sepuluh hari, dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi semalam selepas hakim Jamil Hussin memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie atas pertuduhan berhubung pengedaran dadah dan memiliki dua pistol palsu.

Pembebasan bekas pembantu penyelidik perdana menteri itu dibuat di tengah-tengah perhatian baru mengenai saman sivilnya terhadap Anwar, yang dituduhnya melakukan serangan seksual.

Awal minggu ini, Mahkamah Rayuan mengeluarkan penangguhan sementara bagi semua prosiding yang melibatkan saman sivil Yusoff.

Ini selepas panel tiga hakim membenarkan permohonan perdana menteri untuk menangguhkan tuntutan mahkamah sementara menunggu pelupusan permohonan Anwar untuk mendapatkan penangguhan penuh.

Perbicaraan mengenai permohonan penangguhan penuh ditetapkan pada 21 Julai.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS