GLOBAL l Tehran mengesahkan pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, masih hidup dan selamat susulan serangan Israel ke atas beberapa bandar di negara itu, pada awal pagi Jumaat.
Reuters melaporkan pemimpin revolusi Islam Iran dilaporkan berkata, dia sedang dan sentiasa menerima taklimat mengenai perkembangan semasa.
Dalam serangan itu, Ketua Komander Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran, Mejar Jeneral Hossein Salami dilaporkan antara yang terbunuh.

Sementara itu Agensi Berita Republik Islam (IRNA) memetik Ayatollah Khamenei sebagai a, berkata rejim Israel telah menempa takdir yang "pahit dan pedih" buat diri mereka sendiri.
Dalam satu mesej kepada rakyat pagi Jumaat, beberapa jam selepas Israel melancarkan serangan ke atas Tehran dan beberapa bandar lain, pemimpin tertinggi Iran itu menegaskan bahawa rejim Zionis itu harus bersedia menerima hukuman yang keras.
“Kepada rakyat Iran, rejim Zionis dengan jahat dan tangannya berlumuran darahnya telah melakukan jenayah di tanah air kita yang tercinta dan sekali lagi menunjukkan sifat keji mereka dengan menyasarkan kawasan kediaman.
“Rejim itu harus menanti balasan yang keras,” kata Ayatollah Khamenei.

Dia turut memaklumkan bahawa beberapa komander dan saintis telah terbunuh dalam serangan tersebut.
“Pengganti serta rakan-rakan mereka akan segera menyambung tugas yang ditinggalkan.
“Dengan jenayah ini, rejim Zionis telah menetapkan untuk dirinya takdir yang pahit dan menyakitkan, dan mereka pasti akan merasai akibatnya,” katanya lagi.
Sementara itu, media tempatan memetik jurucakap angkatan tentera Iran sebagai memaklumkan mereka akan memberi tindak balas yang keras terhadap serangan Israel, dengan pasukan pertahanan udara bersedia 100 peratus.
Brig Jen Abolfazl Shekarchi, yang dipetik TV rasmi Iran, berkata Israel dan Amerika Syarikat (AS) akan membayar 'harga yang tinggi' susulan serangan Israel ke atas Iran.

Ia juga menyebut satu letupan juga kedengaran di tapak pengayaan uranium utama di tengah Iran.
"Letupan baharu kedengaran di fasiliti pengayaan uranium Natanz di wilayah Isfahan," lapor televisyen rasmi negara itu, sambil menayangkan kepulan asap hitam tebal dari tapak berkenaan.
Dua sumber Israel yang enggan dikenali mengesahkan Washington sudah dimaklumkan mengenai serangan itu tetapi sama sekali tidak membabitkan AS.
Gambar-gambar menunjukkan kerosakan pada bangunan kediaman di beberapa lokasi di Teheran. Saksi dan wartawan televisyen tempatan turut melaporkan mereka melihat mayat wanita dan kanak-kanak antara mangsa yang terkorban.
