Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Peguam soal Azam: Dua atau tiga didakwa skandal Sabah, mana lain?
Diterbitkan:  Jun 13, 2025 8:36 PM
Dikemaskini: 12:36 PM

Peguam kepada pembocor maklumat yang mendedahkan skandal rasuah membabitkan beberapa Adun Sabah mengkritik SPRM kerana menyatakan hanya “seorang atau dua individu” akan didakwa dalam masa terdekat.

“Walaupun kami mengalu-alukan pengumuman tersebut, tindakan yang bersifat selektif ini — terhadap hanya seorang atau dua individu, sedangkan terdapat bukti jelas terhadap sekurang-kurangnya lapan individu lain — menimbulkan kebimbangan serius terhadap pendekatan SPRM.

“SPRM tidak seharusnya dilihat memilih bulu dalam menentukan kes mana yang hendak diambil tindakan.

“Prinsip kesaksamaan di sisi undang-undang menuntut agar setiap individu, tanpa mengira pangkat, kedudukan politik, atau jawatan, disiasat dan didakwa sekiranya wujud bukti yang boleh dipercayai.

“Sebarang kekurangan dalam hal ini merupakan satu penyelewengan daripada kedaulatan undang-undang,” kata Mahajoth Singh pada satu kenyataan hari ini.

Pada 12 Jun, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki berkata sekurang-kurangnya dua individu akan didakwa tidak lama lagi berhubung skandal rasuah di Sabah yang masih dalam siasatan.

“Saya akan umumkan dalam masa terdekat pendakwaan terhadap individu-individu dalam kes ini,” kata Azam.

Dia turut memberi bayangan kemungkinan akan ada pendakwaan lanjut terhadap individu lain.

Mahajoth turut mengingatkan Azam bahawa anak guamnya, Albert telah menyerahkan rakaman video penuh dan tidak disunting, bersama lebih 300 muka surat bukti sokongan, log panggilan, rekod mesej WhatsApp dan dokumen digital lain kepada SPRM bagi menyokong dakwaannya itu.

Katanya bukti tersebut menunjukkan penglibatan lebih ramai individu dalam aktiviti rasuah.

“Albert tampil secara sukarela, dengan mengambil risiko peribadi yang besar, untuk menyokong usaha anti-rasuah negara.

“Jika individu yang terhadap mereka wujud bukti jelas dilindungi daripada pertanggungjawaban, ini menghantar mesej yang amat mengecewakan kepada para pendedah maklumat masa depan — bahawa kerjasama membawa risiko manakala kekebalan daripada undang-undang terus dilindungi,” tambah Mahajoth lagi.

Peguam itu turut menggesa pihak berkuasa supaya segera memberikan perlindungan penuh kepada Albert dan menjelaskan kepada umum mengenai status serta garis masa siasatan terhadap semua yang terlibat.

“Dan pihak berkuasa mesti membuktikan melalui tindakan bahawa tiada sesiapa di Malaysia yang berada di atas undang-undang.”

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS