Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) menyifatkan tindakan menyalahkan Skim Wajib Tayang kendalian Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) setiap kali sesebuah filem gagal di pawagam sebagai satu trend tidak adil dan berulang dalam industri perfileman tempatan.
Setiausaha Kehormat PFM, Zahrin Aris, menjelaskan ramai penerbit masih tidak memahami fungsi sebenar skim tersebut, yang bertujuan memberi ruang tayangan kepada filem tempatan dan bukannya menjamin kejayaan komersial.
“Ramai penerbit baru menganggap apabila filem mereka masuk panggung melalui skim ini, ia secara automatik akan mendapat sambutan dari penonton. Apabila tidak berlaku, skim ini pula yang dipersalahkan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Walaupun kenyataan itu tidak ditujukan kepada mana-mana individu, ia hadir sehari selepas pengarah filem Gantung: Musketeer Code, Nadia Mohammad Hatta, meluahkan kekesalan terhadap Golden Screen Cinemas (GSC) kerana didakwa menamatkan tayangan filem arahannya lebih awal daripada tempoh minimum 14 hari yang ditetapkan di bawah skim tersebut.

Zahrin turut menegur kelemahan promosi dan mutu sesetengah filem sebagai antara punca utama kegagalan di pawagam, selain kebergantungan berlebihan kepada slot tayangan semata-mata.
“Ada penerbit yang terlalu bergantung kepada slot tayangan dan tidak melabur dalam promosi, trailer, poster atau strategi digital.
“Kualiti skrip, lakonan dan sinematografi mungkin belum cukup kuat untuk menarik penonton. Bila filem tidak laku, mereka rasa sistem tidak adil sedangkan masalahnya mungkin datang dari kandungan itu sendiri.
“Realitinya, promosi boleh tarik perhatian, tapi kalau kandungan tak bagus, penonton tak akan kekal di pawagam, apatah lagi nak sarankan pada orang lain.
“Dalam era media sosial hari ini, mulut ke mulut lebih pantas dan jujur daripada sebarang iklan mahal,” katanya.
Zahrin turut mengingatkan bahawa meskipun filem memperoleh slot menerusi Skim Wajib Tayang, pihak pawagam mempunyai hak menggugurkan tayangan selepas empat hari pertama sekiranya kutipan tiket terlalu rendah.
“Ada yang rasa filem mereka ditayangkan pada tarikh tidak sesuai, bertembung dengan blockbuster. Tapi realitinya, tarikh itu dimohon dan dipersetujui sendiri oleh penerbit.
“Penerbit kadangkala menyalahkan skim apabila filem mereka ditamatkan awal, walaupun itu adalah hak pengusaha pawagam atas dasar komersial," katanya.
Dalam masa sama, PFM turut menyuarakan kebimbangan terhadap isu lambakan filem tempatan yang belum ditayangkan, yang menurut Zahrin kini menjadi masalah struktur yang semakin membarah dan boleh menjejaskan kepercayaan awam serta kelangsungan penerbit tempatan.
Dia juga mempertahankan kewujudan Skim Wajib Tayang sebagai satu bentuk intervensi penting dalam menyokong filem tempatan.
“Skim ini membantu, tapi keberhasilan tetap datang daripada kualiti dan strategi penerbit sendiri. Jika dimansuhkan, kesannya mungkin lebih teruk daripada apa yang kita lihat sekarang,” katanya.
