Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) memaklumkan sebanyak 1,332 permohonan telah diterima di bawah Geran Program Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat India Malaysia 2025 (Geran PPSMI 2025), yang dibuka dari 2 Disember 2024 hingga 5 Januari 2025, dengan jumlah keseluruhan bernilai RM564 juta.
Menurut Pengerusi Pasukan Petugas Khas Mitra, P Prabakaran, semua permohonan yang diterima sedang melalui proses penilaian tiga peringkat seperti digariskan dalam Garis Panduan Pengurusan PPSMI.
"Tiga peringkat itu ialah saringan Seksyen, perakuan di Jawatankuasa Kerja Mitra dan Jawatankuasa Pemandu Mitra Jabatan Perdana Menteri dan terakhir di peringkat kelulusan oleh YAB Perdana Menteri,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, Mitra sedang memproses permohonan geran PPSMI tahun 2025 dan sebanyak 45 cadangan program yang telah diperaku dalam siri pertama dan telah dibawa kepada Pejabat Perdana Menteri untuk pertimbangan dan kelulusan.
Prabakaran turut merakamkan penghargaan kepada semua pemohon yang bersabar dan memberikan kerjasama mereka.
"Proses ini melibatkan tiga peringkat penilaian yang dilakukan secara telus, berintegriti dan prihatin, bagi memastikan hanya program yang benar-benar berimpak tinggi akan diluluskan.
"Saya dan MITRA komited untuk memastikan setiap peruntukan disalurkan secara adil, berkesan dan menyumbang kepada peningkatan taraf sosioekonomi masyarakat India di Malaysia,” katanya.
Semalam, senator dari DAP, menggesa Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menyelesaikan kelewatan Mitra dalam mengagihkan dana kepada program yang telah diluluskan.
Dr A Lingeshwaran berkata, dia difahamkan sebanyak 45 program berfokuskan komuniti yang disokong oleh Mitra dan bernilai RM40 juta di bawah Fasa 1 Belanjawan 2025, masih belum menerima dana.
"Ini bukan permohonan yang masih dalam proses. Ini melibatkan 45 perjanjian yang telah diluluskan sepenuhnya dan ditandatangani, termasuk NGO sah, penyedia latihan, dan rakan pembangunan sosial – semuanya menunggu dana yang sepatutnya sudah diagihkan.
"Empat bulan telah berlalu sejak kelulusan diberikan, tetapi dana masih belum sampai. Ini bukan sekadar kelewatan birokrasi – ia adalah kegagalan serius dalam penyampaian.
