Seorang peguam yang mewakili Pamela Ling percaya sudah tiba masanya pihak polis mendedahkan rakaman CCTV penculikan wanita itu pada 9 April lalu, serta imej suspek yang terlibat.
Permintaan ini dibuat setelah siasatan pihak keselamatan dilihat seperti menemui jalan buntu, apabila tiada sebarang petunjuk baharu yang dapat membantu mengesan keberadaan Pamela atau mengenal pasti penculik.
N Sivananthan berkata kali terakhir dia dihubungi oleh polis pada minggu lalu namun tanpa sebarang perkembangan positif.
"...ia amat mengecewakan, mereka memberitahu saya bahawa mereka langsung tidak mempunyai petunjuk untuk mengesannya atau mengetahui apa yang berlaku kepadanya," katanya kepada Malaysiakini awal hari ini.
Katanya lagi, dia sukar untuk mempercayai bahawa polis tidak dapat mengenal pasti sesiapa pun yang terlibat dalam kejadian tersebut.
Hal ini lebih-lebih lagi memandangkan pihak polis telah memperoleh rakaman CCTV penculikan serta visual penculik Pamela.
"Pada tahap ini saya tidak faham mengapa polis tidak boleh mengeluarkan imej-imej itu untuk meminta bantuan orang awam mengenal pasti mereka.
"Apa yang mereka rugi jika melakukannya sekarang," soal Sivananthan.
Malaysiakini telah menghubungi polis Kuala Lumpur untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai kes ini dan sama ada mereka merancang untuk mendedahkan visual suspek kepada umum.
Pamela telah diculik berhampiran ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya ketika dalam perjalanan untuk bertemu penyiasat SPRM bagi membantu siasatan pengubahan wang haram pada 9 April.
Kereta Grab yang dinaikinya dilaporkan telah disekat oleh lima buah kenderaan lain ketika hampir sampai ke premis SPRM.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Rusdi Mohd Isa pada sidang media 8 Mei lalu berkata penyiasat telah memperoleh rakaman CCTV di lokasi kejadian.
Berdasarkan rakaman itu, polis percaya sekurang-kurangnya lapan individu terlibat dalam penculikan, termasuk dua orang yang memakai vest polis.
Penyiasat percaya suspek tersebut hanya menyamar sebagai anggota polis, menurut kenyataan Rusdi.
Pihak polis juga berjaya mendapatkan lakaran wajah salah seorang suspek namun Rusdi menjelaskan ia tidak banyak membantu kerana kualitinya terlalu rendah.
Selain itu, polis turut menahan suami Pamela bagi membantu siasatan namun dia telah dibebaskan keesokan harinya selepas permohonan reman oleh polis ditolak oleh mahkamah Putrajaya.
