Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
AGC harus telus jika tak mahu orang ramai buat spekulasi - Zaid
Diterbitkan:  Jun 14, 2025 10:15 PM
Dikemaskini: 2:15 PM

Bekas menteri undang-undang, Zaid Ibrahim berkata Jabatan Peguam Negara (AGC) perlu bersikap telus sekiranya tidak mahu orang ramai membuat spekulasi mengenai sesuatu kes.

“Apabila kerajaan atau AGC menggesa orang ramai agar tidak membuat spekulasi atau mempersoalkan sesuatu — sama ada berkenaan pembebasan Yusoff Rawther, kewujudan adendum dalam kes Najib Razak, atau keputusan ‘dilepas tanpa dibebaskan’ (DNAA) terhadap Ahmad Zahid Hamidi — mereka memikul tanggungjawab untuk membina kepercayaan melalui ketelusan.

“Menggesa orang ramai agar tidak membuat spekulasi sambil menyembunyikan kebenaran hanya akan membangkitkan lebih banyak syak wasangka.

“Jika AGC tidak mahu orang ramai membuat spekulasi, maka mereka perlu mengemukakan sebab-sebab terperinci berkenaan keputusan pendakwaan. Jangan harap rakyat percaya secara membuta tuli,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Semalam, AGC meminta orang ramai supaya berhenti membuat spekulasi dan menyebarkan fitnah berhubung keputusan Mahkamah Tinggi membebaskan Yusoff.

"Jabatan ini menggesa orang awam untuk mengelak daripada membuat penyataan yang bersifat spekulatif atau berbaur fitnah berhubung keputusan kes tersebut lebih-lebih lagi jika ia dibuat di luar skop alasan keputusan yang diberikan oleh mahkamah.

“Pentadbiran keadilan hendaklah dijejaskan oleh perbicaraan melalui media, sindiran awam, kedudukan atau persepsi," katanya dalam satu kenyataan.

Pada 12 Jun, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan Yusoff, bekas pembantu penyelidik kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, daripada tuduhan mengedar ganja dan memiliki dua pistol tiruan.

Hakim Jamil Hussin memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap kedua-dua pertuduhan tersebut.

Skandal rasuah Sabah

Mengulas lanjut, Zaid berkata kerajaan Persekutuan masih banyak perkara yang perlu dijelaskan kepada rakyat.

Antaranya adalah mengenai persoalan mengapa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hanya bercadang mendakwa dua individu sahaja dalam skandal rasuah yang melanda Sabah.

Zaid merujuk kepada kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki pada 12 Jun yang memberi bayangan ada individu lain mungkin didakwa.

Mengenai kes Najib pula, Zaid berkata kerajaan perlu menjelaskan mengapa ia tidak mengambil tindakan terhadap titah tambahan yang menitahkan Najib menjalani baki hukuman penjara di rumah walaupun kewujudannya dibuktikan di mahkamah.

“Kerajaan yang jujur menerima tanggungjawab terhadap keputusan dan kesan tindakan, terutama apabila berlaku kesilapan.

“Mereka tidak menyalahkan media, mahkamah atau rakyat atas ‘salah faham’ sambil mengelak daripada memberikan jawapan secara langsung,” tambahnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS