Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Aktivis anjur jerayawara bantah keputusan NFA kes Beng Hock
Diterbitkan:  Jun 15, 2025 6:31 PM
Dikemaskini: 10:31 AM

Persatuan Teoh Beng Hock untuk Kemajuan Demokrasi (TBH-ADA) dan beberapa kumpulan masyarakat sivil lain akan menganjurkan satu siri forum di seluruh negara.

Langkah ini diambil sebagai tanda protes terhadap keputusan Jabatan Peguam Negara (AGC) yang mengklasifikasikan siasatan kematian Beng Hock sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

"Kami dengan tulus menyeru semua warganegara yang cintakan keadilan, masyarakat sivil dan aktivis politik untuk hadir ke forum-forum ini. Mari kita menentang sikap melupakan, nyalakan kembali ingatan, dan tuntut semula keadilan — bersama-sama," kata TBH-ADA dalam satu kenyataan hari ini.

Setakat ini, dua forum telah disahkan.

Forum pertama akan diadakan di Hotel Continental, Pulau Pinang pada Ahad, 22 Jun di George Town. Ini akan diikuti dengan forum di Dewan Persatuan Cina Melaka, Melaka pada Jumaat, 11 Julai.

Teoh Lee Lan, adik kepada Beng Hock, akan berucap dalam kedua-dua forum tersebut bersama beberapa aktivis masyarakat sivil lain.

Persatuan itu turut memaklumkan bahawa lebih banyak forum akan dianjurkan.

Pada tahun 2009, Beng Hock, seorang pembantu kepada Exco Selangor ketika itu, Ean Yong Hian Wah, ditemui mati selepas sesi soal siasat semalaman di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor, yang ketika itu beribu pejabat di Plaza Masalam, Shah Alam.

Pada 2011, Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat kematian Beng Hock memutuskan bahawa kematiannya akibat membunuh diri.

Namun begitu, pada 2014, Mahkamah Rayuan menukar keputusan terbuka dalam kes kematian Beng Hock dan memutuskan bahawa kematiannya akibat tindakan menyalahi undang-undang oleh seorang atau beberapa orang yang tidak dikenali.

Tahun lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berjanji kepada keluarga mendiang bahawa kes ini akan disiasat secara menyeluruh.

Namun begitu, pada bulan Mei lalu, AGC akhirnya mengklasifikasikan kes ini sebagai NFA.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS