PAS akan terus mengambil pendekatan memperuangkan idealisme Melayu-Islam semasa menghadapi PRU akan datang, kata mursyidul am parti berkenaan, Hashim Jasin.
Menurut Hashim, hal itu selaras dengan gerak kerja parti berkenaan yang bersandarkan kepada kaedah lisanul hal (kata-kata dan tindakan) dalam setiap langkah diambil sama ada perbuatan atau akhlak pemimpinnya.
Menegaskan bahawa sokongan orang Melayu kepada PAS ketika ini mesti dipertahankan, Hashim juga berkata, tanpa sokongan segmen terbabit PAS tidak akan dapat menjadi parti yang dominan.
Dia juga membuat perbandingan di antara ahli PAS dan parti lain yang terlibat dengan dakwaan rasuah.
“Tak ada pimpinan kita yang terlibat rasuah besar-besaran. Kalau ada pun satu dua (orang), itu tidak sebanding dengan yang lain.
"Tidak ada juga yang lompat parti untuk cari kemenangan dan kebendaan. Rakyat tengok dan nilaikan sendiri,” katanya seperti dipetik Harakahdaily hari ini.
Hashim diwawancara portal berita rasmi PAS itu berkenaan isu asabiyah - yang juga dikenali sebagai semangat mengutamakan bangsa - dan justifikasi parti itu memperjuangkannya.
Dalam laporan sama, Hashim turut menceritakan pengalamannya berdepan dengan pemimpin gerakan Ikhwanul Muslimin ketika dia menuntut di Baghdad, Iraq puluhan tahun silam.
Hadir sama dalam pertemuan tersebut, kata Hashim, ialah Yang Dipertua PAS Allahyarham Asri Muda.
Katanya sesi berkenaan - yang diatur oleh beberapa pemimpin Ikhwanul Muslimin - dibuat bagi memperkenalkan gerakan Islam di Malaysia, dan sempat timbul salah faham apabila PAS ditegur.
“Ikhwan Muslimin kata perjuangan kamu (PAS) ni tak betul, sebab kamu perjuangkan kebangsaan, perjuangan Melayu.
"Mereka (Ikhwanul Muslimin) melihat itu satu bentuk asabiyah yang bertentangan dengan Islam,” katanya.
Namun tambah Hashim, seorang lagi pemimpin PAS iaitu Abu Bakar Hamzah memberikan penjelasan yang meyakinkan.
Menurut Hashim, Abu Bakar berhujah bahawa tidak semua orang berbangsa Arab beragama Islam kerana ada antara mereka menganut Kristian dan Yahudi.
"Tetapi orang Melayu semua Islam. Apabila kami perjuangkan Melayu, maknanya kami perjuangkan Islam.
"(Selepas itu) Barulah mereka faham bahawa konteks Malaysia sangat berbeza,” katanya.
Justeru, Hashim yang juga bekas Pesuruhjaya PAS Perlis menegaskan, orang Melayu merupakan satu-satunya bangsa yang sepenuhnya menganut Islam.
"Tiada bangsa lain yang semuanya (menganut) Islam melainkan Melayu. Maka, memperjuangkan Melayu itu adalah memperjuangkan Islam,” katanya.
