GLOBAL | China pada Isnin memberi amaran bahawa negara di Timur Tengah akan menjadi “pihak pertama yang terjejas” sekiranya konflik antara Israel dan Iran terus memuncak, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Jurucakap Kementerian Luar China, Guo Jiakun, berkata Beijing “amat bimbang terhadap serangan Israel ke atas Iran yang menyebabkan peningkatan mendadak dalam konflik ketenteraan.”
“Kami menggesa semua pihak supaya segera mengambil langkah meredakan ketegangan… mengelakkan wilayah itu daripada terjerumus ke dalam kekacauan yang lebih besar dan mewujudkan keadaan yang kondusif untuk kembali kepada penyelesaian melalui dialog dan perundingan,” katanya pada sidang media yang disiarkan secara langsung dari Beijing.
Beliau memberi amaran: “Jika konflik antara Israel dan Iran terus memuncak, atau bertambah luas, negara Timur Tengah akan menjadi pihak pertama yang menanggung akibatnya.”
Amaran itu dikeluarkan ketika serangan udara antara Israel dan Iran terus berlanjutan sejak dilancarkan oleh Tel Aviv pada Jumaat lalu.
Menurut Kementerian Kesihatan Iran, sekurang-kurangnya 224 orang terbunuh manakala 900 lagi cedera sejak serangan Israel bermula pada Jumaat.
“Kekerasan tidak akan membawa kepada keamanan yang berkekalan,” kata Guo kepada wartawan di Beijing.
“Semua pertikaian antarabangsa harus diselesaikan melalui dialog,” tambahnya sambil menyatakan bahawa China akan terus berkomunikasi dengan semua pihak.
Guo berkata Beijing menyeru penyelesaian damai terhadap isu nuklear Iran menerusi kaedah diplomatik.
“Kami bersedia untuk terus berhubung dengan semua pihak… bagi menggalakkan penyelesaian politik dan mewujudkan persekitaran yang lebih baik untuk tujuan itu,” katanya.
Ketegangan terbaharu antara Israel dan Iran tercetus selepas serangan Israel pada Jumaat yang menyasarkan kemudahan nuklear dan peluru berpandu Iran, mengorbankan beberapa komander tentera dan saintis. Iran kemudian membalas dengan peluru berpandu balistik yang menyebabkan korban dan kerosakan harta benda di Israel.
- Bernama-Anadolu
