Bersih menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk meningkatkan akses mengundi bagi orang Sabah dan Sarawak yang tinggal di Semenanjung Malaysia, khususnya menjelang pilihan raya negeri dan pilihan raya umum akan datang.
Pengerusi Bersih Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata data menunjukkan lebih 200,000 orang Sabah tinggal di luar negeri itu, dengan majoritinya di semenanjung.
"Dengan penerbangan yang terhad dan tambang yang mahal, bukan sahaja pelajar tetapi orang dewasa yang bekerja mendapati sukar untuk membayar tambang penerbangan atau membuat persiapan yang diperlukan untuk pulang mengundi,” katanya seperti dipetik New Straits Times.

"Berdasarkan PRN Sabah yang lalu, peratusan keluar mengundi adalah sekitar 56 peratus. Pengundi berumur 18 hingga 30 tahun membentuk 53 peratus daripada pengundi.
"Jika mereka tidak keluar mengundi, keseluruhan peratusan keluar mengundi boleh jatuh di bawah 50 peratus. Apa gunanya kerajaan dipilih oleh kurang daripada separuh pengundi?” soalnya lagi.
Muhammad Faisal berkata demikian dalam pertemuan antara Bersih dengan jawatankuasa Persatuan Wartawan Sabah (SJA) di Kota Kinabalu.
PRN Sabah mesti diadakan selewat-lewatnya pada 7 Dissember tahun ini. PRN Sarawak pula perlu diadakan selewat-lewatnya pada 15 April 2026.
Sementara itu, Muhammad Faisal sekali lagi membangkitkan cadangan Bersih agar “pusat mengundi mega” diwujudkan di Semenanjung, untuk pengundi Sabah dan Sarawak mengundi tanpa perlu pulang ke negeri masing-masing.
Katanya lagi, cadangan itu juga telah dibawa kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof dan SPR untuk dipertimbangkan.
Dalam cadangan tersebut, Bersih menyatakan pengundi Sabah dan Sarawak boleh mengundi lebih awal di pusat tersebut dengan undian dikira di pusat pengundian awal, tanpa perlu menghantar kertas undi ke Sabah dan Sarawak.
