Lima premis yang disyaki menjalankan aktiviti melombong Bitcoin secara haram di Sepang, Selangor diserbu polis dalam Ops Khas Mesin Perlombongan Bitcoin, Jumaat lepas.
Ketua Polis Daerah Sepang ACP Norhizam Bahaman berkata serbuan secara serentak di tiga premis di Bandar Baru Salak Tinggi dan dua di Putra Perdana itu bermula 10 pagi hingga tujuh petang.
Norhizam berkata risikan dimulakan olehnya sendiri beberapa bulan lepas selain berdasarkan aduan orang awam.
"Operasi Khas Mesin Perlombongan Bitcoin itu turut dibantu pasukan khas Tenaga Nasional Bhd (TNB) dari Ibu Pejabat TNB, Bangsar, Kuala Lumpur.
"Siasatan awal mendapati, setiap premis mampu menjana keuntungan sekitar RM15,000 hingga RM20,000 sebulan menerusi perlombongan bitcoin haram itu.
"Malah, kami dimaklumkan bahawa sindiket telah mencuri bekalan elektrik bagi menjalankan perlombongan itu, menyebabkan TNB kerugian sebanyak RM86,089 sebulan," katanya dalam sidang media di Sepang hari ini.
Dia berkata jumlah kerugian yang ditanggung TNB bagi kawasan Sepang bermula Januari hingga bulan ini dianggarkan kira-kira RM516,534.
Norhizam berkata hasil serbuan berkenaan, sebanyak 143 mesin perlombongan bitcoin serta barangan yang digunakan untuk tujuan aktiviti itu bernilai lebih RM171,600 turut dirampas.
Polis turut menahan empat lelaki warga tempatan yang bertindak sebagai penjaga premis, berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun di sebuah premis di Putra Perdana.
Norhizam berkata kesemuanya ditahan reman tiga hari bermula Sabtu lepas bagi membantu siasatan.
Kesemua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan pihaknya membuka lima kertas siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan, dan Akta Bekalan Elektrik 1990.
Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan aktiviti perlombongan mata wang bitcoin secara haram termasuk penyambungan elektrik secara tidak sah boleh menyalurkan maklumat ke balai polis berdekatan atau menghubungi talian hotline IPD Sepang 03-87774222.
-Bernama
