Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K'jaan Anwar janganlah tipu rakyat dengan avokado - Muda
Diterbitkan:  Jun 16, 2025 10:16 PM
Dikemaskini: 2:39 PM

Pemangku presiden Muda Amira Aisya Abd Aziz, hari ini menempelak kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim kerana didakwanya cuba mengalihkan fokus rakyat dengan naratif yang mengelirukan berhubung pelaksanaan cukai SST ke atas barangan makanan asas import.

Dalam kenyataan yang tajam, Adun Puteri Wangsa itu menuduh kerajaan menggunakan “penipuan bersadur fakta” bagi mempertahankan dasar yang menurutnya membebankan rakyat.

"Janganlah tipu rakyat. Saya amat risau apabila pemimpin menyadurkan penipuan dalam setiap ucapan dan tulisan untuk mempertahankan polisi yang bagi beban kepada rakyat. Nak selamat, tipu. Nak senang, pusing jalan cerita," katanya.

Amira menyoal justifikasi Kementerian Kewangan yang mengenakan SST lima peratus ke atas buah-buahan dan ikan import bermula 1 Julai, dengan menyindir kenyataan perdana menteri merangkap menteri kewangan yang menyebut "orang kaya nak makan avokado bayarlah lebih sikit."

"Bukan salmon dan avokado sahaja seperti yang Menteri Kewangan sebut. Malaysia import daging, cili, halia, kubis, mangga, kelapa, dan banyak lagi. Pisang emas, rambutan, mangga pun kena cukai," kata Amira.

Tegasnya, ikan makanan rakyat seperti kembung, cencaru dan bilis juga akan dikenakan cukai.

Menurutnya, jika kerajaan mahu rakyat beralih kepada hasil tempatan untuk mengelak cukai, ia perlu terlebih dahulu menjamin bekalan dalam negara mencukupi.

"Jadi kalau nak rakyat berjimat dan hanya beli buah dan ikan tempatan untuk elak bayar SST, bekalan tempatan cukup atau tak cukup untuk semua? Mestilah tidak cukup," katanya.

Amira turut membandingkan kenyataan Anwar dengan bekas perdana menteri Najib Razak yang pernah dikecam kerana memilih makanan mewah seperti quinoa.

"Apa beza PM Anwar dan PM Najib dulu? Anwar dengan avokado, Najib dengan quinoa," katanya.

Dia juga menyindir sikap berdiam diri ahli parlimen kerajaan yang dilihat gagal membela rakyat dalam isu ini.

"Tugas hakiki seorang ahli parlimen ialah untuk buat dasar yang bantu rakyat, bukannya menyokong dasar yang akan menindas rakyat secara membuta tuli," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS