Saya memandang serius jurang ketara antara ucapan Perdana Menteri Anwar Ibrahim sempena pada Hari Wartawan Nasional (Hawana) 2025 dengan realiti semasa berkaitan kebebasan media di Malaysia.
Meskipun perdana menteri menegaskan bahawa “kebebasan media adalah asas demokrasi yang perlu dikekalkan”, tindakan kerajaan pimpinannya sejak mengambil alih pentadbiran terus memperlihatkan pendekatan yang tidak konsisten dan bersifat represif terhadap suara media yang bebas dan kritikal.
Dalam ucapan pada 14 Jun 2025, perdana menteri menyatakan komitmen terhadap ekosistem maklumat yang bebas, bertanggungjawab dan seimbang.
Namun, realiti semasa amat berbeza. Undang-undang menindas masih diguna, seperti Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 untuk menyiasat pengguna media sosial, wartawan dan aktivis yang menyuarakan pandangan kritikal.
Rakyat sudah tidak mudah tertipu dengan ucapan manis, kerana rakyat boleh melihat sendiri bagaimana undang-undang menindas terus diguna pakai.
Terdapat insiden bawah pentadbiran Anwar yang portal berita, wartawan, dan aktivis media sosial menerima tekanan melalui siasatan, panggilan polis atau SKMM, dan pelbagai tindakan lain, terutama apabila menyentuh isu yang dianggap sensitif oleh mereka yang berkuasa. Ini mencerminkan penggunaan kuasa secara selektif terhadap media.
Malah, tekanan kepada kebebasan melapor juga berlaku apabila alasan “3R” (raja, agama, kaum) digunakan secara longgar dan tidak jelas.
Malahan, ada pemimpin politik kini sedang disiasat dan didakwa dibawah Akta Hasutan yang selama ini dikatakan satu akta zalim oleh Anwar sendiri. Namun, akta yang dia pernah kritik itulah yang digunakan untuk membenam suara rakyat.
Contoh terkini yang sering disebut-sebut ialah bagaimana akaun Facebook Lim Sian See yang sering mendedahkan kepincangan pentadbiran tiba-tiba lenyap, dan begitu juga Aliff Ahmad yang ditekan oleh penguasa hanya kerana mencuit anak kesayangan Anwar.
Saya menggesa rakan-rakan pengamal media untuk sama-sama mendesak kerajaan memansuhkan segera penggunaan Akta Hasutan dan menyemak semula Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia agar diselarikan dengan semangat kebebasan bersuara yang tulen.
Beri definisi jelas 3R
Saya juga menyeru semua pihak sama ada pihak berkuasa, pakar undang-undang, ahli akademik atau pengamal media untuk mendesak agar satu definisi yang jelas diberikan terhadap “batas 3R” agar tidak disalahgunakan untuk menutup ruang demokrasi.
Untuk benar-benar meraikan Hawana 2025, ucapan retorik kosong bukan caranya. Jika benar mahu media menjadi tonggak amalan demokrasi, sepatutnya kerajaan segera menghentikan tekanan terhadap pengamal media, baik media tradisional mahupun media sosial.
Jika benar Anwar masih berpegang kepada prinsip reformasi, beliau mesti buktikan melalui tindakan tegas memperkukuh kebebasan media bukan sekadar memperindah fantasi dengan ucapan lunak dan habuan dana.
WAN SAIFUL WAN JAN adalah anggota parlimen Tasek Gelugor merangkap ketua portfolio Komunikasi Anggota Parlimen Perikatan Nasional.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
