Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jawatankuasa tangani kos penjagaan kesihatan swasta ditubuhkan

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan penubuhan sebuah jawatankuasa khas antara Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi menangani peningkatan kos penjagaan kesihatan swasta.

Menurut Anwar, langkah itu diambil bagi mengurangkan beban yang ditanggung dan memastikan rakyat terus mendapat akses kepada penjagaan kesihatan berkualiti yang kekal mampu milik.

“Ketika kita melangkah ke hadapan dengan reformasi dan daya tahan, kita tidak boleh mengabaikan cabaran segera yang memberi kesan langsung kepada rakyat terutamanya isu peningkatan kos penjagaan kesihatan.

“Ini bukan hanya isu ekonomi. Ini isu kesejahteraan nasional. Ramai rakyat tidak mampu mendapatkan rawatan kesihatan kerana kos yang tinggi,” katanya ketika berucap pada Simposium Sasana 2024 di Kuala Lumpur, hari ini.

Mengula lanjut, Anwar menegaskan bahawa inisiatif ini bukan sekadar pelarasan kecil, tetapi satu reformasi asas ke arah sistem penjagaan kesihatan swasta yang berasaskan nilai dengan mengutamakan hasil rawatan, ketelusan dalam kos, dan keadilan kepada pengguna.

“Antara pembaharuan yang dicadangkan termasuk penetapan harga yang lebih jelas, penggunaan teknologi kesihatan digital, serta insurans kesihatan asas mampu milik untuk rakyat marhaen,” katanya.

Sementara itu, Anwar turut berkongsi pengalamannya mendapatkan rawatan di hospital kerajaan yang menunjukkan keperluan memperkukuh sistem awam agar lebih cekap dan tidak bergantung kepada pembelian kelengkapan mahal yang tidak digunakan secara optimum.

"Terdapat katil dibeli dengan harga ratusan ribu ringgit tetapi tidak digunakan dengan sebaiknya. Ini mencerminkan pembaziran yang perlu dielakkan," katanya.

Anwar turut memaklumkan bahawa sesi khas bersama KKM, MOF dan Bank Negara Malaysia akan diadakan esok untuk membincangkan pelaksanaan dan hala tuju reformasi tersebut dengan lebih mendalam.

“Matlamat kita adalah menjadikan penjagaan kesihatan sebagai tunggak ketahanan negara dipandu belas ihsan, dasar yang kukuh dan keperluan rakyat. Dan saya beri jaminan saya sendiri akan memantau dan memastikan reformasi ini dilaksanakan,” tegas Anwar.

Langkah ini dijangka menjadi sebahagian daripada agenda pembaharuan struktur ekonomi dan sosial bawah kerangka Ekonomi Madani.

Subsidi bukan untuk orang kaya

Dalam perkembangan berasingan, Anwar terus menegaskan subsidi tidak wajar terus dinikmati oleh golongan kaya dan warga asing, sedangkan golongan rentan terus terbeban.

"Subsidi tidak salah jika disalurkan kepada mereka yang memerlukan. Tetapi subsidi untuk orang kaya dan warga asing yang tidak membayar cukai? Itu tidak adil dan membebankan fiskal negara," katanya.

Kata Anwar, reformasi yang dilaksanakan mungkin tidak popular, namun ia penting untuk meletakkan asas ekonomi yang lebih mampan dan inklusif.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS