Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
NGO, aktivis suarakan sokongan pada Iran, gesa umat Islam bersatu

Sejumlah NGO serta pemimpin beberapa parti politik berkumpul di kedutaan Iran di Kuala Lumpur hari ini bagi menyatakan solidariti terhadap republik itu yang kini berdepan konflik dengan Israel.

Mereka mengadakan pertemuan lebih sejam dengan Duta Iran, Valiollah Mohammadi Nasrabadi, di tengah serangan terbaru Israel ke atas negara itu.

Mereka antara lain menyuarakan sokongan kepada Iran dalam usaha mempertahankan negaranya selain mengecam campur tangan Amerika Syarikat (AS).

Dalam satu kenyataan bersama yang dibacakan Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) Mohd Azmi Abdul Hamid, mereka menggesa PBB, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) untuk mengutuk serangan Israel tersebut.

"Siasatan badan bebas antarabangsa, PBB yang telah diberi mandat harus menjalankan siasatan untuk memastikan serangan yang dilancar (terhadap) Iran, kesannya kepada orang awam serta pelanggaran undang-undang.

"Masyarakat antarabangsa khususnya kuasa Barat perlu berhenti melindungi Israel secara tidak adil," katanya.

Mohd Azmi Abdul Hamid (kanan)

Antara yang turut serta dalam pertemuan itu adalah Pengerusi Institute of Strategic and International Studies (ISIS) Mohamed Jawhar Hassan; Presiden Putra, Ibrahim Ali; pemimpin parti Amanah Raja Kamarul Bahrin Shah; bekas ahli parlimen PKR Tian Chua, Pengasas Islamic Renaissance Front Ahmad Farouk Musa dan aktivis hak asasi Palestin Muslim Imran. 

Dalam pada itu, Mohd Azmi menggesa Asean yang kini dipengerusikan oleh Malaysia untuk menyatakan bantahan terhadap ketegangan yang dicetuskan Israel tersebut.

Dia memaklumkan pihaknya akan menganjurkan satu himpunan aman di hadapan kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur bagi menyatakan kecaman keras dan mendesak agar mengheret Israel ke muka pengadilan.

‘Umat Islam terpecah dua’

Sementara itu, Muslim berkata keadaan semasa telah menyebabkan umat Islam di seluruh dunia berpecah kepada dua kelompok - yang menentang dan yang akur.

“Perlu jelas mengapa kita berada di sini. Setiap individu yang hadir dalam pertemuan ini datang untuk menyatakan sokongan terhadap perjuangan – menentang kezaliman, menentang pencerobohan ini – sehingga pembebasan sepenuhnya Palestin, pembubaran entiti Zionis di Tel Aviv, dan kemenangan untuk Iran, Yaman, Iraq serta seluruh dunia Islam dalam menghadapi penjajahan Zionis,” katanya.

Muslim Imran

Bekas pengerusi Palestinian Cultural Organisation Malaysia (PCOM) itu menegaskan kehadirannya bukanlah sebagai tanda solidariti terhadap perang Iran menentang Israel semata-mata, sebaliknya ia adalah perjuangan bersama yang turut berlaku di tanah airnya sendiri.

“Kami di sini untuk menyatakan penghargaan kepada Republik Islam Iran – kepada rakyatnya dan tenteranya – kerana memimpin perjuangan menentang pencerobohan Zionis yang berterusan terhadap seluruh umat.

“Saya ingin jelaskan perkara ini: apabila kita katakan kita hadir atas dasar solidariti, ia mungkin kedengaran seolah-olah kita dua entiti yang berbeza. Tapi hakikatnya tidak. Kita adalah satu umat,” katanya lagi.

‘Bukan tentang Sunni lawan Syiah’

Menyuarakan sentimen yang sama, Ahmad Farouk berkata perpecahan dalam kalangan ummah Islam global sejak sekian lama sebahagian besarnya berpunca daripada penolakan majoriti Sunni terhadap pengikut Syiah.

Ahmad Farouk Musa

“Kini, ia bukan lagi soal Sunni atau Syiah. Apa yang kita hadapi sekarang ialah satu kelompok yang menentang dan satu lagi kelompok yang berkompromi.

“Setiap daripada kita perlu membuat keputusan apa pendirian kita,” kata Farouk.

“Adakah kita berada dalam kelompok menentang, atau kita memilih untuk sehaluan dengan kalangan yang akur yang disokong Amerika?

“Pilihan di tangan kita, dan saya percaya umat Sunni di negara ini akan berdiri bersama umat Syiah di Iran – bersatu dalam perjuangan menentang kezaliman Amerika Syarikat dan sekutunya,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS