Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Jumaat 13 hari bulan, hari yang secara meluas dianggap malang dalam budaya Barat. Tahyul ini menggabungkan perkaitan negatif yang dirasakan kedua-dua nombor 13 dan hari Jumaat. Dalam mitologi filem Hollywood pula, Jumaat 13 adalah tarikh dan masa hantu dan polong keluar menghiruk dunia.  

Pada subuh Jumaat 13 Jun 2025, tarikh ini dipilih oleh Benjamin Netanyahu untuk menyerang Iran. Israel menamakan serangan ini Operasi Singa Bangun. Iran menangkis dan bangun melawan dengan Operasi Janji Suci 3.  

Ketika tulisan ini digarap, perang sedang rancak berjalan. Serang menyerang berterusan. Mati, musnah, runtuh, dan punah sedang berlaku di Tel Aviv dan di Tehran.  

Netanyahu mengumumkan tujuan utama menyerang Iran ini ialah untuk menghancurkan fasiliti makmal program nuklear Iran. Justeru, sasaran utama pada subuh itu ialah bandar Natanz – pusat fasiliti makmal nuklear Iran yang terletak 289 kilometer di selatan Tehran.  

Fasiliti nuklear ini terletak dalam perut bumi dan dilindungi oleh perisai konkrit dengan ketebalan lebih kurang 7.6 meter. Menurut pihak berkuasa Iran, alat emperan di pusat ini dibina di bawah tanah, pada kedalaman 40 hingga 50 meter dalam bumi.  

Ini bukan kali pertama fasiliti nuklear Natanz ini diserang. Pada 21 April 2021, fasiliti ini telah meledak. Iran menuduh ini sabotaj yang telah dijalankan oleh Israel dan Mossad. Sabotaj ini berlaku satu minggu sesudah Presiden Joe Biden bersetuju untuk kembali berbincang dengan Iran. Biden mahu menghidupkan kembali Perjanjian Nuklear Dua Negara – Iran-Amerika – yang dibatalkan oleh Donald Trump.  

Pada subuh Jumaat itu, Israel menggunakan lebih 200 buah jet pengebom. Selain dari Natanz, lebih dari 100 tempat lain telah menjadi sasaran – termasuk Tehran.  

Serangan ini menewaskan beberapa orang pakar saintis ilmuwan nuklear Iran. Turut sama dibunuh pada subuh itu ialah Hossein Salami, Ketua Pengawal Revolusi Iran; Muhamad Bageri, Ketua Angkatan Tentera Iran; dan Gholamali Rashid, Ketua Markas Pusat Pengawal Revolusi Iran.  

Dari apa yang berlaku, jelas Operasi Singa Bangun ini telah lama dirancang. Sosok-sosok yang tewas ini telah dibunuh melalui drone yang telah diseludup dan disediakan berada dalam wilayah Iran. Ini taktik yang sama seperti Operasi Spider’s Web yang digunakan oleh Ukraine ketika menyerang Rusia baru-baru ini.  

Konco-konco Israel

Ini bermakna Mossad dan konco-konco barua upahan Israel telah lama mengintip dan mengenal pasti sosok-sosok yang wajib dibunuh. Mereka yang dibunuh adalah sosok yang berperanan penting dalam pentadbiran kerajaan Iran. Mereka bukan kecil-kecil anak.  

Wajib diingat, ketika serangan ini berlaku, perundingan antara Amerika dengan Iran sedang berjalan di Oman. Malah, dari laporan berita, rundingan ini telah sampai ke tahap positif.  

Justeru, kerana ini, umum membuat andaian bagaimana Trump digunakan oleh Netanyahu dalam projek menyerang Iran. Malah, ada pemerhati politik seperti Scott Ritter – pegawai PBB yang bertanggungjawab menyelidik fasiliti nuklear Saddam Hussein – yang menganggap Trump bersubahat dan tahu akan rancangan Netanyahu.  

Mengikut pandangan Scott Ritter – yang juga bekas pegawai Marine Corps, tentera Amerika ini – rundingan di Oman ini sengaja dijalankan untuk mengaburi mata Iran. Walhal, Netanyahu sedang merancang untuk menyerang.  

Rundingan ini bertujuan untuk melalaikan Iran. Juga memberi harapan jika rundingan berjaya, maka segala sekatan ekonomi yang dikenakan terhadap Iran akan ditarik balik.  

Malah, pemerhati dan penganalisis geopolitik seperti bekas penasihat Presiden Ronald Reagan dan Gorbachev: Profesor Jeffrey Sachs dari Universiti Columbia, berpendapat Trump telah membuat teater untuk membantu Netanyahu dan Israel.  

Lawatan Trump dan ucapan Trump ketika melawat Saudi Arabia kini dilihat sebagai taktik untuk memperlihatkan bahawa Trump dan Netanyahu tidak lagi tidur sebantal. Trump secara tersusun menyanyi lagu Nina Bobo untuk Iran.  

Bila perang pecah, Marco Rubio, setiausaha negara Amerika, terus berkata: “Kami tidak tahu apa-apa. Amerika tidak terlibat.”  

Apakah Trump terlibat? Apakah Amerika terlibat?  

Walau apa pun kenyataan yang menafikan keterlibatan Trump dan Amerika – tidak ada sesiapa yang akan percaya. Umum – dunia tahu – tanpa kuasa dan sokongan Amerika, Zionis Israel telah lama terkubur.  

Iran membalas serang Israel dengan pantas sekali. Ratusan peluru berpandu Iran telah meluncur masuk ke wilayah Israel. Sasaran Iran ialah pusat-pusat dan bangunan strategik ketenteraan. Depot menyimpan peluru dan pangkalan tentera.  

Malah, laporan awal memberitakan bagaimana Iran berjaya menembak jatuh tiga pesawat F-35 buatan Amerika. Jika berita ini sahih, maka jelas Iran memiliki keterampilan pertahanan yang unggul.  

Fattah-1 tembusi Iron Dome

Apa yang jelas, berjayanya peluru berpandu hipersonik Iran yang dipanggil Fattah-1 menembusi Iron Dome – benteng antipeluru berpandu buatan Amerika. Iron Dome ini dihubungkan sebagai benteng pertahanan yang mustahil ditembusi.  

Dari klip video yang kini jadi tontonan awam dalam YouTube, jelas terbukti bahawa Iron Dome ini gagal menembak jatuh Fattah-1 yang kelajuannya 16,000 hingga 18,000 kilometer sejam. Dari Iran ke Israel, Fattah-1 akan mengambil masa hanya 12 minit sebelum meledak.  

Iran bukan sahaja menyerang dengan peluru berpandu. Malah, beratus-ratus drone yang membawa bahan peledak meluncur masuk ke Israel. Drone Iran aktif di seluruh Israel. Banyak yang gagal meledak, tapi yang berjaya telah membawa malapetaka kepada Zionis Israel.  

Amat jelas bentuk perang kali ini beralih jauh dari zaman Perang Dunia Kedua atau Perang Vietnam atau Perang Iraq. Hari ini, teknologi AI dan sistem satelit saling bantu-membantu untuk serang-menyerang.  

Ketika tulisan ini digarap, belum dapat dilihat apa penyudah perang ini. Apa yang dunia lihat sekarang ialah Iran semakin banyak mendapat sokongan. Rusia, yang ada Perjanjian Pertahanan dengan Iran, jelas menyokong Iran. China juga telah menyatakan simpati kepada Iran. China membeli minyak dari Iran walaupun Iran menghadapi sekatan ekonomi.  

Apa bentuk bantuan dari negara-negara ini mustahil akan kita ketahui.  

Apa yang paling menarik ialah sikap Putera Mohammed Bin Salman (MBS) dari Saudi Arabia. Umum tahu bahawa Saudi ialah tanah jajahan Amerika, tetapi kali ini MBS telah membuat kenyataan menyelar dan mengutuk Israel.  

Sikap Turki dan Pakistan cukup jelas. Dua negara yang memiliki kekuatan tentera ini mengutuk Israel dan mahu Israel menghentikan serangan.  

Satu negara Arab yang dilihat belot ialah Jordan. Bukan sahaja tidak bersimpati terhadap Iran, malah peluru berpandu yang melintasi ruang udara Jordan ditembak jatuh oleh tentera Jordan.  

Tabik hormat wajib diberikan kepada Kim Jong-un dari Korea Utara. Negara ini kini menjadi rujukan bukan sahaja kepada Iran, malah kepada banyak negara lain di Dunia Ketiga. Korea Utara dibuli. Ekonomi disekat, tetapi tidak ada sesiapa berani menyerang negara ini kerana Korea Utara memiliki senjata nuklear.  

Akhirnya, jika Iran terus disekat, terus diserang, terus diasak ke dinding, maka Iran akan mengambil dasar seperti Korea Utara yang memiliki senjata nuklear. Malah, telah kedengaran suara dari Tehran bahawa ada kemungkinan Iran akan keluar dari Perjanjian Nuklear IAEA – International Atomic Energy Agency.  

Netanyahu mahu jerut leher Amerika

Perjanjian IAEA ini tidak membenarkan mana-mana negara untuk membuat bom nuklear. Negara yang menandatangani perjanjian ini hanya dibenarkan menggunakan tenaga nuklear untuk kegunaan tenaga elektrik. Pegawai dan pakar dari lembaga IAEA akan memeriksa fasiliti nuklear mana-mana negara dari masa ke semasa.  

Pada ketika ini, Netanyahu dan Israel sedar bahawa projek untuk memusnahkan fasiliti nuklear Iran ini adalah mustahil. Israel tidak memiliki bom Bunker Buster. Bom ini boleh menembus masuk sejauh 200 kaki ke dalam bumi untuk meledak.  

Fasiliti nuklear Iran semuanya disimpan dalam perut bumi di wilayah gunung-ganang. Justeru, Netanyahu mahu menjerut leher Amerika untuk turut sama memerangi Iran. Hanya pesawat B-2 dari Amerika sahaja yang berupaya membawa bom seberat 13,600 kg atau yang kecil sedikit, beratnya 2,300 kg.  

Netanyahu sedaya upaya sedang membuat helah agar Amerika masuk sama memerangi Iran. Justeru, jangan terperanjat jika Israel membuat Operasi Bendera Palsu – di mana Israel sendiri akan mengebom kapal Amerika dan menuduh ini kerja Iran. Projek seperti ini bukan satu yang mustahil untuk Israel.  

Akhir-akhir ini, Netanyahu menambah satu lagi tujuan menyerang Iran: Regime Change – mengubah kerajaan. Dalam ucapan kepada media, Netanyahu menyeru agar warga Iran bangun memberontak dan menjatuhkan Kerajaan Republik Islam Iran.  

Netanyahu sedar bahawa selagi kerajaan Republik Islam Iran wujud bawah garis politik Islam yang dipimpin oleh alim ulama, Zionis Israel akan terus berhadapan dengan Iran. Republik Islam ini mustahil dimandulkan seperti Mesir atau Iraq.  

Iran dengan garis politik Islam menjanjikan bahawa rejim Zionis Israel akan dikuburkan. Palestin dari sungai ke laut pasti merdeka. Umat Islam di seluruh dunia boleh kembali bersembahyang di Masjid Al-Aqsa. Inilah janji suci Iran kepada umat dunia. Amin.  


HISHAMUDDIN RAIS aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS