Suhakam menggesa Jabatan Peguam Negara (AGC) dan pihak polis supaya mengkaji semula keputusan “tiada tindakan lanjut” (NFA) dalam kes kematian Teoh Beng Hock, dan mengambil tindakan terhadap pegawai yang terlibat.
Suhakam juga menyatakan sokongan kepada keluarga Teoh serta menuntut pihak berkuasa bertindak dengan telus dan bertanggungjawab.
“Sekiranya AGC dan polis masih bertegas bahawa kes ini wajar ditutup dengan NFA, maka prinsip tadbir urus yang baik menuntut agar mereka bersikap telus dan mendedahkan sepenuhnya hasil siasatan polis serta menjelaskan mengapa pegawai SPRM yang terlibat tidak dibawa ke muka pengadilan,” kata Suhakam dalam satu kenyataan.
Memetik Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan – yang menjamin bahawa “tiada seorang pun boleh diambil nyawanya atau kebebasan dirinya kecuali menurut undang-undang” – Suhakam menegaskan tanggungjawab negara adalah untuk melindungi nyawa, terutamanya apabila individu berada dalam tahanan pihak berkuasa.
“Peruntukan Perlembagaan ini menjunjung hak asasi terhadap nyawa dan kebebasan, dan mewajibkan negara serta agensinya memastikan hak ini sentiasa dipelihara, khususnya apabila seseorang itu berada dalam jagaan pihak berkuasa,” tambahnya.
Lebih 16 tahun selepas kematian Teoh, Suhakam meluahkan kekesalan bahawa keadilan masih belum tercapai.
“Suhakam menegaskan bahawa hak untuk hidup di bawah Perkara 5 bukan sahaja melindungi individu daripada kehilangan nyawa secara sewenang-wenangnya, tetapi juga mewajibkan negara menjalankan siasatan menyeluruh, bebas dan berkesan terhadap semua kes kematian dalam tahanan serta memastikan pelaku dibawa ke muka pengadilan.
“Kegagalan untuk berbuat demikian merupakan pelanggaran terhadap kewajipan perlembagaan negara dan juga komitmen hak asasi manusia Malaysia di peringkat antarabangsa,” katanya lagi.
Suhakam turut merujuk kepada Prinsip Mendez mengenai kaedah soal siasat yang berkesan, yang menekankan pendekatan tidak memaksa, berasaskan sains dan mematuhi hak asasi.
Prinsip tersebut menolak penggunaan intimidasi atau paksaan, dan mengutamakan perlindungan prosedur termasuk hak mendapatkan peguam, hak untuk berdiam diri, serta rakaman audio-visual sepanjang sesi soal siasat.
“Penerapan piawaian ini penting bagi mencegah penyalahgunaan kuasa serta menjamin maruah dan keselamatan semua individu dalam tahanan.
“Suhakam menggesa kerajaan agar mengambil langkah yang telah lama tertangguh dengan meratifikasi Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Menentang Penyeksaan dan Layanan atau Hukuman Lain yang Zalim, Tidak Berperikemanusiaan atau Menghina (CAT) sebagai manifestasi jelas komitmen Malaysia untuk menghapuskan penyeksaan, menjunjung maruah manusia dan memperkukuh integriti institusi,” ujar Suhakam.
Teoh, bekas setiausaha politik kepada seorang Adun DAP, ditemui mati pada 16 Julai 2009 selepas terjatuh dari tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam. Dia sebelum itu disoal siasat sepanjang malam oleh pegawai SPRM Selangor.
Pada tahun 2014, Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan terbuka Mahkamah Koroner, dan memutuskan bahawa “kematiannya melibatkan perbuatan satu atau lebih individu.”
Pada 21 November tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan polis menyiapkan siasatan kes kematian Teoh dalam tempoh enam bulan, susulan semakan kehakiman yang difailkan oleh ibu bapanya.
